Azlan sebaiknya menarik diri kerana pemilihan beliau sebagai Menteri Besar oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak diterima oleh sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas, kata Zahidi Zainul. 
--fotoBERNAMA (2018)
Azlan sebaiknya menarik diri kerana pemilihan beliau sebagai Menteri Besar oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak diterima oleh sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas, kata Zahidi Zainul. 
--fotoBERNAMA (2018)

KANGAR – Kemelut jawatan Menteri Besar Perlis boleh diselesaikan jika pihak terbabit bertolak ansur, kata setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata Azlan sebaiknya menarik diri kerana pemilihan beliau sebagai Menteri Besar oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak diterima oleh sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Walaupun beliau telah menerima pelantikan, Azlan seharusnya menarik diri kerana tanpa sokongan sembilan ADUN lain bagaimana dia hendak melantik anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Selama ini dia hanya bergantung kepada Tuanku (Raja Perlis). Pada saya, elok Azlan korban sikit. Lagipun kita telah kemukakan 11 nama kepada Tuanku untuk dipertimbangkan dilantik menjadi Menteri Besar,” kata Zahidi kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata 11 nama itu termasuk pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Semua sembilan ADUN BN tidak hadir pada istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Arau pada 24 Mei lepas tetapi tiga ADUN Pakatan Harapan dan dua ADUN PAS hadir.

Zahidi mengulangi bahawa semua ADUN BN akur dan menjunjung perintah Raja Perlis namun bertegas menolak Azlan sebagai Menteri Besar.

Katanya semua ADUN tersebut akan memohon untuk mengadap Tuanku Syed Sirajuddin dalam masa terdekat selepas membuat penjelasan dan memohon ampun kepada baginda dalam sidang media esok sebab-sebab mereka menolak pelantik Azlan.

Pada PRU14 9 Mei lepas, BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Shahidan dan Zahidi masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Arau dan Padang Besar.

— BERNAMA