Nadzim Johan
Nadzim (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang didakwa menipu pelanggannya yang menyertai pakej haji 2017 menerusi syarikat itu.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) petang tadi mengadakan pertemuan dengan syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang didakwa menipu pelanggannya yang menyertai pakej haji 2017 menerusi syarikat terbabit.

Dalam pertemuan yang diadakan, syarikat terbabit telah menjelaskan keadaan yang sebenar dan bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan dengan pengadu-pengadu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, daripada pertemuan berkenaan, difahamkan pertikaian antara kedua belah pihak mengenai perkara itu dipercayai berpunca akibat salah faham.

“Kami akan menganjurkan satu pertemuan sebagai memudah cara antara PJH dan para pengadu berkenaan bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan malam  ini.

Dalam perkembangan sama Nadzim menjelaskan, salah faham yang berlaku antara kedua belah pihak dikenal pasti berpunca daripada persepsi tertentu.

“Justeru saya menyarankan agar semua pihak bertenang sehingga pertemuan antara kedua belah pihak yang terlibat.

“Saya juga berharap tidak ada lagi pihak yang membuat dakwaan bahawa syarikat PJH melaku sebarang penipuan dan memberi ruang kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini secara baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette