Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes kematian akibat rabies yang disahkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru itu melibatkan seorang perempuan dewasa berumur 21 tahun dari Kampung Koran Bari, Serian, Sarawak.

Ia menjadikan jumlah kes rabies yang disahkan melibatkan manusia pada 2018 adalah sebanyak lima kes dan kesemua kes berkahir dengan kematian.

“Semenjak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak bermula pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang telah disahkan di kalangan manusia adalah sebanyak 11 orang.

“Daripada jumlah tersebut, 10 kes telah meninggal dunia, manakala, satu (1) kes telah didiscaj dari hospital dengan defisit neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

“Kes baru ini mempunyai sejarah telah digigit oleh anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing tersebut pada 20 April 2018.

“Kes telah mendapatkan rawatan luka dan suntikan anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan telah dinasihati untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing Hospital Serian pada keesokan hari. Namun, kes tidak pergi ke klinik tersebut.

“Anjing yang menggigit kes adalah seekor anjing liar yang diambil dan dipelihara oleh ayah, kes tiga (3) minggu sebelum kejadian ini berlaku. Anjing tersebut juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-Rabies,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 20 Mei 2018, mangsa kes terbaru itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami kesakitan dan lemah di bahagian bahu kanan selama empat hari.

Mangsa kemudian dimasukkan ke wad pengasingan HUS.

Keadaan mangsa menjadi semakin teruk dengan menunjukkan simptom halusinasi, demam dan telah hilang refleks pada kedua-dua belah tangannya.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada pukul 5:01 pagi semalam.

Berdasarkan pemeriksaan mangsa meninggal dunia akibat Rabies Encephalitis.

Sampel klinikal yang diambil daripada mangsa dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM semalam dan disahkan positif jangkitan itu.

Untuk rekod, sehingga 31 Mei 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 31 kawasan di lima bahagian sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies.

Bahagian yang terlibat adalah Serian (21 kawasan), Kuching (lima kawasan), Samarahan (tiga kawasan) serta masing-masing satu kawasan di Sri Aman dan Sarikei.

Kawasan positif rabies terbaru telah diisytiharkan pada 28 Mei 2018 adalah Kampung Selarat, Daerah Lundu, Kuching.

KKM menegaskan pencegahan jangkitan rabies pada manusia bergantung kepada kejayaan mengawal rabies pada anjing.

Justeru, orang ramai perlu memberi kerjasama dengan membawa haiwan peliharaan untuk divaksinasi.

KKM turut mengingatkan agar orang ramai tidak memelihara mana-mana anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya.

Selain itu, langkah pencegahan yang paling penting adalah dengan mengelakkan diri dari gigitan anjing atau haiwan liar kerana tiada sebarang maklumat berkenaan status kesihatan haiwan tersebut.

Di samping itu, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette