KUALA LUMPUR – Pengumuman ‘mendadak’ pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing yang  kembali selepas menghilangkan diri lebih 16 tahun dan  ‘dianugerahkan’ projek bernilai RM30 bilion di Langkawi menjadi tanda tanya.

Projek Bandaraya Baharu Langkawi akan dibangunkan di atas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat pulau berkenaan bakal dilaksanakan oleh oleh kumpulan syarikatnya dalam masa terdekat.

Menurut Felo Institut Pulau Pinang, Dr. Wong Chin Huat dalam laman sosialnya, penganugerahan kontrak berbilion ringgit itu seolah-olah mengembalikan amalan kroni kapitalisme yang berlaku pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Walaupun tidak langsung menyebut tentang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam catatan tersebut namun umum dapat membuat andaian bahawa ia berlaku ketika era Perdana Menteri keempat.

Chin Huat yang juga penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) sejak dulu melahirkan kebimbangan beliau secara terang-terangan dengan mengatakan perkembangan itu sangat mengganggunya.

“Ini bukan keputusan populis atau keputusan untuk jangka masa pendek, namun dengan meluluskan projek mega seumpama ini, kita lihat ianya menjurus kepada ciri kroni kapitalis antara tahun 1980-an sehingga 1990-an.

“Rakyat Malaysia perlu tuntut ketelusan dan tanggungjawab berikutan perkara ini,” katanya.

Catatan itu juga mendapat maklum balas daripada pelayar Facebook sehingga dikongsi 49 kali selain dluahan yang senada dengan Chin Huat.

Rata-rata mereka juga adalah penyokong kerajaan PH yang turut sama melahirkan rasa bimbang seandainya undi mereka untuk kerajaan baru itu tidak banyak membawa perubahan.

Ada juga pengguna Facebook yang mahu semua bertenang dan memberi peluang bukan sahaja kepada Mahathir tetapi juga kepada Pek Khiing yang dianggap sudah ‘insaf’ dan ikhlas melakukan perubahan demi ‘menyelamatkan Malaysia’.

Bagaimanapun, Mahathir pada sidang media hari ini turut membela keputusan itu dengan menyatakan mana-mana individu yang mempunyai duit untuk dilaburkan di Pulau Langkawi adalah dialu-alukan.

Malah jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, projek tersebut akan dijalankan di Kedah dan hanya kerajaan di negeri itu berhak untuk meluluskan atau sebaliknya berhubung projek tersebut yang kini diterajui oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semalam, Pek Khiing mendedahkan, syarikatnya akan terlibat dengan pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan lain.

“Pembangunan ini akan menjadi seperti di Dubai. Projek ini akan mendapatkan lebih ramai orang untuk melabur dan tinggal di sini untuk tempoh yang lebih lama, bukan hanya satu atau dua hari,” ujarnya.

Sebelum ini, media pernah melaporkan Pek Khiing didakwa gagal menyiapkan empangan hidroelektrik Bakun di Sarawak tetapi diberi pula pampasan RM950 juta ketika 1990-an.- MalaysiaGazette