Azam Baki
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman bersama wang tunai berjumlah kira-kira RM1.5 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama  mengesahkan tangkapan tersebut dilakukan Khamis lalu.

Beliau berkata, dua pegawai kanan polis itu direman empat hari mulai semalam hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, dua pegawai berkenaan ditahan di sebuah kedai membaiki kereta di Subang Jaya bersama wang tunai RM341,000.

Menurut sumber, penahanan kedua-dua pegawai yang masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan itu turut membawa kepada rampasan beberapa kereta mewah dan sejumlah wang tunai di sebuah kondominium milik seorang suspek dan di pejabat STAGG di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. – MalaysiaGazette