Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata Pas berpendirian bahawa Tommy Thomas bersifat sekular dan tidak layak untuk menjawat jawatan Peguam Negara.

Oleh itu, Pas meragui keperibadian Tommy yang dilihat akan membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.

“Meneliti kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara yang digariskan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan kepakaran Tommy Thomas mengenai undang-undang dan perlembagaan, saya berpendirian bahawa beliau tidak sesuai menduduki jawatan itu kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menjejaskan kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin oleh perlembagaan Persekutuan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai tanggungjawab menyatukan masyarakat berteraskan asas-asas negara yang telah dipersetujui antaranya kedaulatan Islam dan kedaulatan Raja-raja dan Sultan.

Namun Pas melihat kerajaan PH gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Kelihatannya sikap itu sama sahaja dengan kerajaan sebelum ini yang sering melantik individu bermasalah untuk memegang jawatan-jawatan penting,” katanya lagi.

UMNO turut menempelak tindakan kerajaan PH itu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, cadangan untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara ternyata bercanggah dengan 15 janji PH dalam manifesto mereka antaranya berhubung pelantikan peguam negara.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan Peguam Negara berikutan penolakan Istana Negara terhadap cadangannya melantik Tommy Thomas. – MalaysiaGazette