M. Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia memberi tempoh sebulan kepada 23,072 majikan yang layak mencarum satu peratus Levi Pembangunan Sumber Manusia yang akan digunakan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja .

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, majikan yang gagal berbuat demikian sehingga 30 Jun ini akan diheret ke mahkamah.

“Setakat April ini majikan yang layak mencarum adalah sekitar 45,750, namun hanya 22, 678 yang berdaftar untuk mencarum setakat ini.

“Sebanyak 23,072 majikan atau 50 peratus masih belum berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad  (HRDF).

“Bermula 1 Julai ini majikan yang gagal mendaftarkan untuk pencaruman berkenaan akan diheret ke mahkamah dan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 13 (1) Akta PSMB 2001,” katanya dalam sidang media di Wisma PSMB di sini hari ini.

Turut bersama beliau Ketua Setiausaha Sumber Manusia, Datuk Mohd. Gazali Abas dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Datuk CM J. Vignasvaran.

Katanya, tindakan mengeheret majikan ke mahkamah adalah pilihan terakhir kementerian memandang pihaknya tidak berniat untuk menghukum mereka tetapi mahu memberi peluang kedua.

Ujar beliau, majikan yang mempunyai masalah mencarum boleh mendapatkan khidmat nasihat PSMB.

Katanya, majikan perlu mempunyai peranan tanggungjawab sosial korporat dengan mencarum satu peratus daripada pendapatan pekerja.

Levi pembangunan sumber manusia merupakan pembayaran caruman mandatori yang dikenakan kerajaan kepada majikan tertentu untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja dibawah akta PSMB.

Majikan dalam kategori tertentu bertanggungjwab untuk membayar levi berkenaan untuk setiap pekerja pada kadar satu peratus daripada gaji bulanan pekerja.

Kriterianya, setiap majikan disyaratkan mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja tempatan bidang pembuatan, perlombongan dan kuari serta 38 sub sektor perkhidmatan lain antaranya pengangkutan udara, telekomunikasi, agensi pelancongan dan perkapalan.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, majikan boleh membuat bayaran levi kepada PSMB dalam bentuk tunai, cek tempatan, draf bank, wang pos ataupun kiriman wang.

“Di Korea dan Jepun majikan mengambil serius untuk memastikan pekerja mereka dilatih secukup dengan kemahiran industri yang dikehendaki pasaran.

“Di negara ini walaupun PSMB dimulakan sejak 1993, namun sehingga kini tidak ada penyertaan aktif daripada majikan dan saya hairan akta yang ditubuhkan sejak 2001 gagal dikuatkuasakan.

“Objektif kita sangat jelas iaitu mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sekaligus meningkatkan produktiviti, kebolehpasaran dan pekerjanya relavan kepada industri pasaran tempatan,” kata beliau.- MalaysiaGazette