KUALA LUMPUR – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jangan menyibuk hendak menjaga tepi kain UMNO dalam urusan pemilihan parti itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah berkata, Ahli Parlimen Muar itu lebih baik menumpukan kepada kerja usaha menaikkan namanya menjadi Menteri Belia dan Sukan.
“Syed Saddiq perlu menjadi Menteri Belia (dan Sukan) bagi menumpukan usahanya membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bergaji RM4,000 ke bawah yang mengharapkan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji mereka sebelum menang PRU14.
“Beliau juga kena sedar, ramai anak muda ternanti-nantikan satu juta peluang pekerjaan yang dijanjikan PH, walaupun kerajaan baru kini sedang sibuk bertungkus-lumus untuk menggambarkan ekonomi negara seakan tenat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Syed Saddiq dalam surat terbukanya kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Ahad lalu, menyatakan keterujaannya dengan pembentangan Dasar Belia Malaysia.
Namun katanya, calon baharu UMNO untuk pemimpin pemuda adalah masing-masing berusia 42 tahun termasuk Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Khairul Azwan Harun, yang mana secara peribadinya beliau menghormati mereka.
“Tetapi, calon ini tidak memenuhi definisi belia yang dibentangkan, situasi diburukkan lagi apabila (Datuk Seri) Jamal Yunos, seorang indvidu yang menyalahi undang-undang dan tidak menyerahkan diri kepada pihak berkuada, jufga mencalonkan diri untuk merebutKetua Pemuda UMNO, yang juga berusia 48 tahun,” kata Syed Saddiq.
Menurut Mohd Shahar, Ketua Armada PPBM itu perlu menunggunya tidak lama lagi untuk beliau membangkit dan mengungkitkan janji PH di Dewan Rakyat sebagai membawa penyesalan dan kekesalan anak muda mengundi Pakatan Harapan tempoh hari.
Kata beliau, sebagai Ahli Parlimen, beliau mahu bertanya kepada Syed Saddiq selaku bakal Menteri Belia dan Sukan mengenai apa yang dilakukannya untuk anak muda tanpa mengira bangsa dalam mengurangkan beban kos sara hidup, peluang pekerjaan dan segala apa yang pernah dijanjikan.
“Daripada menyibuk mengenai rumah tangga UMNO dan sesedap mulut memanggil Exco Puteri UMNO sebagai pembaris, adalah lebih baik Syed Saddiq terus bersuara dalam Pakatan Harapan terutama menegur pimpinan utama agar menunaikan janji-janji manis mereka.
“Daripada biar Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR jadi menteri belia, lebih baik Syed Saddiq yang jauh lebih muda menunjukkan taring kerana rekod kepimpinan Nik Nazmi tidak begitu menonjol walaupun pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Ingatlah, waimah baru setahun jagung dalam politik, pemimpin Pakatan Harapan termasuk Syed Saddiq sedang dinilai oleh masyarakat terutama anak-anak muda yang akan sekali lagi mengundi dalam masa lima tahun lagi,” katanya. – MalaysiaGazette