Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Selepas empat minggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu dan Pas kekal memerintah Kelantan untuk enam penggal berturut-turut, kerajaan negeri membuat kenyataan memerlukan tempoh untuk mereka melunaskan manifesto yang dijanjikan.

Menurut Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kerajaan negeri memerlukan masa secukupnya untuk membuat kajian ke atas segala janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

“Contohnya, kita janji nak tubuhkan kolej wanita. Untuk menubuhkannya kita perlu kaji apa yang perlu dan ini semua mengambil masa.

“Kita akan tunaikan janji kepada rakyat, dan ianya akan dilaksanakan berperingkat-peringkat,” katanya di Kota Bharu semalam.

Pada 23 April lalu, Pas Kelantan melancarkan manifesto bagi PRU14 dengan 14 tawaran kepada rakyat.

Manifesto dengan sembilan teras bertemakan ‘Kelantan Sejahtera Untuk Islam’ yang selari dengan manifesto Pas Pusat dilancarkan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas.

Antara tawaran dalam manifesto itu ialah mendaulatkan agama Islam dengan memperkasa perundangan Syariah,  pembangunan Islam dalam aspek perbandaran, memperkasa institusi pondok, menaikkan kadar elaun imam serta bilal dan memperkasa sektor pelancongan Islam.

Isi kandungan manifesto yang lain ialah meningkatkan kecemerlangan pendidikan dengan menyusun semula perkhidmatan pegawai pendidikan, menyuburkan ekonomi melalui meningkatkan sektor koperasi sebagai peluang pelaburan, memperkasakan pembinaan rumah untuk rakyat antaranya memperkasakan program rumah dhuafat di setiap DUN dan mewujudkan alam sekitar lestari antaranya memperkenalkan sistem penuaian air hujan atau penggunaan panel solar.

Mohd Amar yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, kerajaan negeri tidak perlu tergesa-gesa untuk menunaikan janji kerana tempoh penggal PRU14 akan berakhir lima tahun lagi dari sekarang.

“Kerajaan Pakatan Harapan pun belum buat lagi, kecuali cukai GST sahaja setakat empat minggu ini yang mereka laksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast