PEMENANG minta Perdana Menteri kaji semula cadangan memansuhkan PERDA yang ditubuhkan sejak 1983 itu.
PEMENANG minta Perdana Menteri kaji semula cadangan memansuhkan PERDA yang ditubuhkan sejak 1983 itu.

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) merayu supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkaji semula cadangan memansuhkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) yang ditubuhkan sejak 1983 itu.

Presiden PEMENANG, Tan Sri Yussof Latiff berkata, PERDA yang ditubuhkan sebagai sebuah agensi kerajaan yang menggerakkan pembangunan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan dan pengurusan program serta projek sosioekonomi itu telah banyak berjasa kepada pembangunan ekonomi, sosial dan tahap kehidupan masyarakat di Pulau Pinang.

“PEMENANG difahamkan kerajaan persekutuan mahu memansuhkan PERDA jadi kami (PEMENANG) sebuah NGO yang objektif utamanya membela nasib Melayu di Pulau Pinang berharap Tun Dr Mahathir dapat mempertimbangkan untuk mengkaji semula cadangan itu.

“Kami berpendapat adalah wajar satu institusi khusus seperti PERDA diteruskan untuk memberi keutamaan dari segi menaik taraf sosioekonomi orang Melayu kerana sepanjang 35 tahun ia ditubuhkan telah terbukti agensi itu banyak berjasa terutama dalam bidang pembangunan pendidikan, pembangunan tanah-tanah industri dan modal insan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, PERDA juga mempunyai aset dan tanah yang berpotensi membawa pembangunan komprehensif dan kemakmuran kepada masyarakat Melayu yang akan menikmati pembangunan secara inklusif sejajar dengan pembangunan negeri Pulau Pinang yang semakin pesat.

Yussof berkata, PEMENANG yakin kewujudan PERDA dan mungkin penstrukturan semula agensi itu akan membawa satu harapan baharu kepada masyarakat kerana agensi itu adalah entiti penggerak yang sedia ada untuk menjamin masa depan masyarakat Melayu yang lebih progresif serta inklunsif dalam arus pembangunan.

“Kami juga mengambil berat tentang penyelewengan di dalam institusi-institusi yang telah diamanahkan untuk membangun masyarakat Melayu termasuk PERDA dan menyambut baik serta menyokong penuh usaha kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah menyalahgunakan kuasa.

“Saya harap janganlah marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar…kerana disebabkan seorang dua yang menyalahgunakan kuasa mereka dalam PERDA sehingga terpaksa agensi itu dimansuhkan, ia akan merugikan banyak pihak terutama orang Melayu di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, PEMENANG yakin penerusan entiti PERDA yang mungkin boleh diberikan suntikan nafas baharu yang lebih dinamik dan pengurusan yang lebih berwibawa menjamin kesinambungan visi asal penubuhannya di mana penggerak utamanya adalah Dr Mahathir sendiri ketika itu.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi kepada perdana menteri semalam bagi memohon Dr Mahathir mengkaji semula cadangan memansuhkan PERDA itu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast