Pasukan Cardiff City.
Pasukan Cardiff City.

KUALA LUMPUR – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menaja hingga tiga juta pound sterling (kira-kira RM5,339,915) dalam tempoh tiga tahun lepas sejak 2015 untuk mengekalkan logo ‘Visit Malaysia’ pada jersi pasukan bola sepak Cardiff City.

Pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan bahawa Sultan Johor adalah antara penaja logo berkenaan, dengan berkata, Tuanku tidak membantu Cardiff City FC, tetapi lebih kepada untuk mempromosi negara ini.

Cardiff City FC di bawah bimbingan pengurusnya, Neil Warnock, akan bersaing pada Liga Perdana Inggeris 2018/19 di samping Manchester United, Chelsea, Arsenal dan Liverpool berikutan kenaikan statusnya daripada Liga Kejohanan.

Tan juga menyuarakan harapan agar Menteri Pelancongan yang baharu akan menimbang “bekerjasama” dengan kelab itu untuk terus mempromosi industri pelancongan Malaysia.

“Kini, bintang Barcelona, Luis Suarez, menjadi duta bagi Tourism Malaysia. Apabila dia bermain bola sepak, dia tidak memberitahu orang bahawa dia adalah Duta Tourism Malaysia, tetapi saya berpendapat anda tidak dapat mengalahkan Duta ‘Visit Malaysia’ itu pada Liga Perdana Inggeris.

“Apabila Cardiff City bermain pada Liga Perdana Inggeris dengan memakai jersi yang tertera ‘Visit Malaysia’ sebagai penaja utama, 4.8 bilion manusia dari seluruh dunia akan melihatnya,” kata beliau pada sidang media baru-baru ini.

Tan berkata, banyak orang menyangka Kementerian Pelancongan menjadi penaja logo ‘Visit Malaysia’, sedangkan sebenarnya, ia berbuat demikian bagi satu musim (2013-2014) sahaja.

“Mereka membayar hanya untuk setahun iaitu ketika kami beraksi dalam Liga Perdana Inggeris. Sekarang, kami kembali beraksi dalam liga itu lagi dan kami berharap menteri baharu akan menimbangnya dan mereka sepatutnya terus memberi sumbangan kerana dalam Liga Perdana Ingeris, kami perlu membelanjakan banyak wang,” kata beliau.

Dikenali sebagai Bluebirds dan mewakili ibu negeri Wales, Cardiff City FC adalah satu-satunya kelab bukan Inggeris yang memenangi Piala FA dan menjulang trofi terkenal di dunia itu pada 1927.

Pasukan itu melakar sejarah terbaru dalam kejohanan bola sepak apabila mara ke perlawanan akhir Piala FA 2008 dan perlawanan akhir Piala Liga 2012 di Stadium Wembley. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast