Arsenal hampiri khidmat Lucas Torreira
Lucas Torreira hampiri penghijrahan ke Emirates Stadium musim ini.

ENGLAND – Arsenal dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani bagi mendapatkan khidmat bintang pertahanan tengah Lucas Torreira.

Laporan di Itali mendakwa the Gunners sudah melengkapkan pembelian pertama iaitu Stephan Lichsteiner secara percuma dari Juventus minggu lalu.

Arsenal juga sudah mencapai perjanjian dengan pemain bek pertahanan Borussia Dortmund Sokratis Papastathopoulos.

Pengumuman rasmi pembelian pemain itu dijangkakan pada Julai ini.

Namun laporan terbaharu di Itali mendakwa Arsenal menghampiri satu lagi pemain iaitu Torreira dari kelab Serie A, Sampdoria.

Sampdoria dikatakan sudah menandatangani pemain dari Lokomotiv Zagreb, Lovro Majer, yang mana memberi laluan kepada penghijrahan Torreira ke Liga Perdana Inggeris.

Agensi berita Sky Itali juga melaporkan Arsenal bersedia membayar klausa jualan £22 juta (RM117.6 juta) yang ditetapkan ke atas Torreira.

Pemain berusia 22 tahun itu kini bersama pasukan kebangsaan Uruguay sebagai persiapan menghadapi kempen bola sepak Piala Dunia Rusia 2018 yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.- MalaysiaGazette