Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia (MFFAM), Mohamed Razali Mohamed bercakap kepada media ketika hadir bagi menghadiri mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara ILHAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2018
Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia (MFFAM), Mohamed Razali Mohamed bercakap kepada media ketika hadir bagi menghadiri mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Menara ILHAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik untuk memastikan harga ikan laut murah dan mampu dinikmati masyarakat terutamanya golongan tidak berkemampuan.

Ini berikutan kebimbangan kerajaan kini yang diterajui Pakatan Harapan (PH) yang melihat rata-rata rakyat Malaysia terpaksa berbelanja besar untuk membeli makanan.

Oleh yang demikian, Majlis Penasihat bertindak memanggil pemain industri dalam bidang berkaitan termasuk Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia bagi mendapatan pandangan untuk menyelesaikan perkara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia, Mohamed Razali Mohamed berkata, kaedah mengurangkan harga ikan laut bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sebaliknya ia sangat kompleks.

Katanya, ini kerana permintaan ikan laut melebihi penawaran malah Malaysia merupakan pengimport terbesar keempat dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Isu ini bukan senang, untuk kurangkan harga ikan atau mencari mekanisma atau jalan bagi menyelesaikan perkara ini juga bukan mudah seperti yang disangka.

“Kita kini memikirkan pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan bekalan ikan laut di negara ini mencukupi, kita boleh cuba untuk menangkap ikan yang lebih selepas ini.

“Kita juga boleh cuba import ikan dari negara luar seperti Indonesia dan Thailand tetapi pada masa yang sama perlu diingat mereka juga perlukan bekalan ikan mencukupi untuk rakyat mereka.

“Harga ikan pula meningkat berbeza-beza dan mendadak, ia bergantung kepada spesies ikan itu sendiri. Contoh ikan kembung, lima tahun dahulu ianya RM5 sekilo, kini RM12. Spesis ikan rakyat lain seperti selar kuning, cencaru yang menjadi pilihan rakyat juga kadang-kadang meningkat kerana permintaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Menara Ilham hari ini.

Tambah Mohamed Razali, harga ikan juga ditentukan melalui musim dan cuaca terutama ketika tengkujuh dan laut bergelora yang menyukarkan para nelayan untuk turun ke laut.

“Ketika itu permintaanya sangat tinggi dan bekalan yang sedia ada tidak mencukupi. Harga juga akan naik mendadak. Para nelayan sukar untuk turun ke laut seandainya musim tengkujuh atau laut bergelora.

“Jadi, kita memikirkan import adalah merupakan salah satu cara untuk memastikan bekalan ikan laut mencukupi, setakat ini itu merupakan antara cara terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast