Dr Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi.
Dr Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ismail Salleh dianggap tidak memahami situasi yang berlaku di Kedah berhubung pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Amanah Negara (PAN) Kedah itu dilihat lebih bersifat spekulasi dan kebudak-budakan, kata Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi.

Menurutnya, Ismail sepatutnya menunjukkan contoh berjiwa besar serta mempunyai sikap keterbukaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menjadi kesalahan andainya jawatan Speaker DUN diserahkan kepada Pas yang mempunyai 15 kerusi.

“Kenyataan Dr Ismail lebih berbaur emosi dan tidak matang sedangkan dirinya itu adalah seorang pemimpin yang berpengalaman. Sikap menuduh secara tidak langsung memperlihatkan sikap tidak profesional beliau dalam mengurus politik Kedah yang penuh dengan seni.

“Tuduhan melulu kononnya Pas gila kuasa mendesak agar berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berasas sama sekali kerana semuanya bergantung kepada nasihat dan budi bicara Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Sultan Kedah.

“Bagi mengatasi isu terbabit, semua pihak perlu menjadikan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sebagai asas penyelesaian kepada kemelut ini dan tidak mewujudkan suasana tegang serta cuba menimbulkan kekeliruan dan curiga dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Fakharuddin menganggap tidak adil meletakkan tekanan kepada Pas dalam isu Speaker DUN sedangkan jalan keluar sudahpun ditawarkan dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang menjadi amalan di beberapa negara Eropah.

Ini kerana katanya, amalan itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam demokrasi dan Pas mengambil amalan berkenaan sebagai jalan penyelesaian isu bagi DUN di Kedah. – MalaysiaGazette