Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berucap pada Program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JUN 2018
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah masih tidak membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding sebagai Presiden UMNO atau sebaliknya.

Bagaimanapun beliau akan melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah sebelum mengumumkan pendiriannya sebelum tarikh pencalonan Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO tamat pada 17 Jun ini.

“Saya sudah terima pandangan daripada keluarga saya, saya tak nak jelaskan lagi. Saya juga memikir umur saya, kalau cakap saudara tadi, tak perlu fikir umur tapi nak naik tangga pun susah.

“Soalnya terdaya atau tidak nak pergi 192 kawasan dari semasa ke semasa, itu pun kena fikir juga. Itu sebab saya utamakan orang muda memimpin kita.

“Walau bagaimanapun, saya akan beristikharah, tengok apakah panduan yang akan diberi kepada saya,” katanya pada Wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh menerima banyak sokongan daripada ahli akar umbi untuk menerajui UMNO yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Mesyuarat UMNO Cawangan Banggol Lepah, Ketereh, pada 26 Mei lalu turut mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Presiden UMNO dan disokong semua 112 ahli UMNO kawasan terbabit.

Tengku Razaleigh, 81, ialah wakil rakyat paling lama berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang sejak pilihan raya umum 1974 hingga PRU14.

Beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, pada 1976 selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein, selain pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Pada 1978, Tengku Razaleigh dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Islam.

Selain itu, Tengku Razaleigh turut dilantik menjadi pengerusi Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa pada 1977. – MalaysiaGazette