UMNO Johor percaya keputusan empat parti komponen di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) akan menggagalkan usaha memperkemas demokrasi yang diusahakan parti itu selama ini.

KUALA LUMPUR – UMNO Johor percaya keputusan empat parti komponen di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) akan menggagalkan usaha memperkemas demokrasi yang diusahakan parti itu selama ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, UMNO Johor menegaskan keputusan parti-parti komponen terbabit untuk meninggalkan BN juga merupakan tindakan yang dijangkakan.

“Keputusan parti-parti komponen ini meninggalkan BN membawa makna bahawa BN kini kehilangan rakan kongsi yang penting di Sarawak.

“Sekalipun BN akur bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang dan mempertikaikan keputusan mereka untuk meninggalkan BN dan mencari hala tuju serta jalan masa depannya sendiri, keputusan tersebut dilihat sangat¬†menyedihkan dan memberi kesan kepada BN,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu menurut kenyataan tersebut, tindakan mereka untuk mewujudkan pakatan hanya dari kalangan parti-parti itu sahaja merupakan langkah ke belakang dan tidak menyokong aspirasi dan usaha kita untuk mengukuhkan integrasi nasional.

“Lebih menyedihkan, keputusan meninggalkan BN ini seolah-olah¬†mengetepikan segala kerjasama, persahabatan dan persaudaraan antara parti-parti komponen dalam BN sejak lebih 60 tahun,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, kekalahan dalam PRU tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus mengubah pendirian dan melupakan begitu sahaja persahabatan dan kerjasama baik yang dibina selama ini.

Malah, kekalahan dalam PRU bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Ia seharusnya menjadi peringatan dan motivasi untuk parti menambah baik diri sendiri.

“UMNO Johor berpandangan bahawa perkembangan seperti ini menggambarkan bahawa BN kini berdepan dengan cabaran besar untuk menyatu dan mengukuhkan parti-parti komponennya agar BN kekal relevan dan berfungsi dengan baik.

“Pada masa yang sama, UMNO Johor percaya bahawa para pemimpin, ahli dan pendukung BN harus sedar dan menerima hakikat bahawa tiada perkongsian dan pakatan seperti BN yang akan kekal selama-lamanya.

“Setiap formula perkongsian kuasa yang menghimpunkan pelbagai kaum dan kemajmukan seperti yang diamalkan oleh BN selama ini pasti akan teruji dengan bermacam-macam cabaran semasa.

“Jadi, adalah kritikal untuk BN terus mencari jalan masa hadapan yang berupaya untuk mendepani semua ini dengan baik. Malah, UMNO Johor sendiri akan memperhalusi perkara ini dengan sedalam-dalamnya,” ujar kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette