UMNO

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Penasihat Agama untuk memberi nasihat kepada presiden parti.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) berkata, inisiatif itu wajar untuk dilaksanakan kerana presiden perlu sentiasa mendapat nasihat dalam isu membabitkan agama.

“Kita cadangkan agar diwujudkan untuk presiden parti untuk pastikan presiden pada setiap tindakan, dasar, aktiviti tak akan lari daripada prinsip agama dan hukum syariah,” katanya dalam program bual bicara Sinar Harian yang disiar secara langsung menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu Wan berkata, jika dirinya dipilih sebagai ketua Pemuda UMNO, beliau akan memastikan agar semua pihak dalam barisan Pemuda di semua peringkat baik cawangan, pusat akan terlibat dalam proses pembuatan cadangan yang akan dibuat secara inklusif.

Dalam pada itu menyentuh mengenai dakwaan yang mengatakan rakyat menolak Umno, Wan berkata ‘perkara itu tidak timbul’.

“Saya analisa dan bagi saya rakyat sebenarnya tak tolak parti UMNO, rakyat hanya menolak kepimpinan yang ada dalam UMNO dan juga proses yang ada dalam UMNO.

“UMNO ditubuhkan atas keperluan untuk menjaga hak orang Melayu dan memartabatkan Islam, perjuangan ini masih relevan terutamanya kepada bangsa Melayu, UMNO harus dilihat bukan sahaja parti yang memperjuangkan Melayu dan telah juga berjaya memperjuangkan nasib bangsa lain yang rata-ratanya merangkumi segenap masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette