KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Md Yunos diburu polis menjelaskan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatukan orang Melayu menjadi punca beliau memilih Ketua Umum Pakatan Harapan itu untuk memimpin UMNO.
Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berkata, UMNO kini memerlukan sokongan daripada akar umbi dan untuk menarik sokongan itu hanya Anwar yang mampu mengembleng sokongan sedemikian mengingatkan kembali gelombang reformasi pada 1998 lalu.
“Ketika ini UMNO memerlukan sokongan daripada seluruh akar umbi dan dari situlah, saya melihat penyatupaduan orang Melayu ini hanya mampu dilakukan oleh Anwar,” katanya dalam video yang dihantar menerusi WhatsApp.
Walau bagaimanapun, Jamal berkata, cadangan itu adalah pandangan dan pendapat peribadi beliau semata-mata dan tiada kena-mengena dengan individu lain atau parti UMNO itu.
“Kalau ia mampu membawa kebaikan, apa salahnya kita fikir dan renungkanlah untuk masa depan negara kita yang tercinta ini,” katanya.
Dalam klip video Rabu lalu, Jamal mencadangkan agar Anwar memimpin UMNO dengan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai sebagai orang nombor dua parti itu.
Zahid kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno susulan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette