KARACHI- Taman Keriangan Askari, taman tema bertaraf antarabangsa pertama di Karachi mengambil contoh Malaysia, Dubai dan Thailand sebelum membangungkan taman berkenaan bagi kegunaan rakyat di bandar tersebut.
Menurut Pengarah Urusannya, Shafqat Jafri, taman tema tersebut menempatkan 11 permainan menyeronokkan bertaraf antarabangsa yang hanya boleh dimainkan oleh remaja berusia 14 tahun ke atas sahaja.
“Kami cuba memenuhi jurang di antara taman-taman keriangan di Pakistan dan telah melakukan kajian terhadap taman-taman tema di Malaysia, Dubai dan Thailand,” katanya.
Menurut Shafqat, mesin-mesin di taman tersebut diimport dari China.
Ketika ditanya mengenai tahap keselamatan taman berkenaan, masih belum ada pihak berkuasa melawat taman berkenaan kerana tiada undang-undang mengenai permainan taman tema dikenakan do negara tersebut.
Bagaimanapun, pasukan Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) akan melakukan lawatan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Taman seluas 30 ekar berhampiran Penjara Pusat Karachi itu pada asalnya adalah pusat vendor sayur-sayuran dan buah-buahan.
Ianya dibuka kepada umum pada hari raya pertama ini.
Taman Keriangan Askari turut menempatkan sebuah ferris wheel yang dinamakan Karachi Eye, sempena ferris wheel terkenal, London Eye meskipun ia kecil sedikit dari segi saiz iaitu hanya berketinggian 61 meter berbanding London Eye yang setinggi 135 meter.
Karachi Eye mempunyai 32 kabin berhawa dingin yang mana setiap satunya boleh menempatkan empat orang pada satu-satu masa.- MalaysiaGazette