"Habis tu macam mana nak bertanding Presiden UMNO tahun 2021?" - Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO adalah tidak mudah.

Kata Ahli Parlimen Rembau itu, sehingga beberapa hari yang lepas beliau tetap dengan pendiriannya hanya bertanding jawatan Naib presiden UMNO sahaja.

“Namun setelah memikirkan masa depan dan survival UMNO dalam keadaan hari ini, saya mengambil keputusan bertanding Presiden UMNO kerana mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana UMNO perlu dikemudi.

“Maka dengan rasa tawaduk dan penuh keinsafan,, borang pencalonan saya untuk pemilihan UMNO ini telah diserahkan ke ibu pejabat UMNO sebentar tadi(3 petang).

“Terdahulu saya terpaksa meminta agar borang pencalonan asal yang diserah 1 Jun untuk jawatan Naib presiden UMNO ditarik balik dan pencalonan saya terkini ialah untuk Presiden UMNO,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook hari ini.

Kenyataan yang sama turut diedarkan oleh bekas Setiausaha Politiknya Datuk Megat Firdouz Megat Junid semasa menyerahkan borang pencalonan beliau di PWTC.

Tambah KJ, beliau juga menghormati calon Presiden Tengku Razaleigh Hamzah dan berjumpa dengan Ahli Parlimen Gua Musang beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasratnya bertanding di atas semangat pemilihan terbuka.

“Saya sangat hormat kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Malah, saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka.

“Saya juga sangat hormat kepada YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam UMNO, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya,” katanya.

Namun memandangkan pertandingan ini di peringkat tertinggi UMNO adalah terbuka, katanya, beliau mahu perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk parti.

“Sudah pasti saya tidak mempunyai pengalamn luas seperti calon lain tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yag mewakili peralihan generasi dalam UMNO

“Satu Pilihan yang pada Prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan UMNO,” katanya lagi.

BERIKUT KENYATAAN PENUH KHAIRY JAMALUDDIN

PEMILIHAN UMNO 2018

1. Dengan rasa tawaduk dan penuh keinsafan, borang pencalonan saya untuk pemilihan UMNO telah diserahkan ke ibu pejabat UMNO sebentar tadi. Saya terdahulunya terpaksa meminta agar borang asal saya yang diserah pada 1hb Jun 2018 bagi jawatan Naib Presiden UMNO ditarik balik. Borang pencalonan saya yang terkini adalah untuk jawatan Presiden UMNO.

2. Keputusan saya ini tidak mudah untuk dibuat. Malah sehingga beberapa hari yang lepas, saya tetap dengan pendirian saya untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO sahaja. Namun, setelah memikirkan masa depan dan survival UMNO dalam keadaan hari ini, saya mengambil keputusan bertanding jawatan Presiden UMNO kerana saya mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana UMNO perlu dikemudi.

3. Saya sangat hormat kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Malah, saya telah berjumpa dengan beliau beberapa hari yang lepas dan menggalakkan hasrat beliau bertanding di atas semangat pemilihan terbuka. Saya juga sangat hormat kepada YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam UMNO, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya.

4. Kedua-dua tokoh ini mempunyai kelebihan masing-masing. Tengku Razaleigh adalah seorang negarawan yang berjaya mengasaskan institusi-institusi penting negara seperti Petronas dan Bank Bumiputra. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid pula adalah seorang pejuang yang telah melalui jatuh bangun dunia politik dan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan akar umbi parti. Kedua-dua mereka merupakan calon-calon yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk jawatan presiden ini.

5. Namun, memandangkan pertandingan di peringkat tertinggi UMNO kali ini adalah terbuka, saya mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk UMNO.

6. Sudah pasti, saya tidak mempunyai pengalaman yang luas seperti calon-calon yang lain. Tetapi saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam UMNO. Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan UMNO.

7. Saya berikrar untuk bekerja sepenuh jiwa dan raga, bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam parti agar UMNO dikembalikan kepada roh asal dengan jasad yang baharu. Roh yang saya maksudkan adalah parti Melayu yang inklusif, dengan menunjukkan keterangkuman yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja. Parti untuk orang biasa. Parti yang menjaga kepentingan orang biasa. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata. Parti yang berjiwa besar terhadap kaum-kaum lain dan mungkin satu hari nanti Barisan Nasional boleh dibina semula sebagai satu rumah besar untuk semua.

8. Biarlah semangat perjuangan kita beteraskan fastabiqul khairat – berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada rakyat, dan bukannya berlumba-lumba untuk jawatan, pangkat dan kekayaan.

9. Jasad yang baharu bermaksud penstrukturan semula parti secara total. UMNO mesti mengembalikan semangat keterbukaan dalam segala aspek. Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat. Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan. Terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui UMNO dan bebas daripada cengkaman ‘warlords’.

10. Budaya ilmu perlu memacu perjuangan UMNO di setiap peringkat. Biarlah Perhimpunan Agung menjadi medan pertembungan idea untuk kebaikan rakyat dan bukannya pesta ucapan retorik yang hanya menghiburkan ahli parti. Biarlah orang yang luar dari “sistem parti” diangkat bersama ke jawatan tertinggi – baik para ilmuan, profesional serta aktivis yang mungkin selama ini disekat dan dipinggirkan. Kita buka pintu UMNO seluas-luasnya kepada siapa sahaja yang ingin membina semula parti kita.

11. Saya sedar saya juga penuh dengan kelemahan. Dan mungkin ada yang rasa saya terlalu muda dan mentah. Tetapi kita berada di zaman luar biasa yang menuntut jalan yang bukan biasa. Saya hanya mahu memberi para perwakilan pilihan yang seluas-luasnya. Menang kalah di tangan perwakilan dan ketentuan Ilahi.

12. Walau apapun keputusan kelak, kesetiaan saya kepada UMNO tidak berbelah bagi dan saya akan menyokong siapa sahaja yang dipilih menjadi Presiden UMNO yang baharu nanti. Yang penting, pemilihan ini perlu berjalan dalam semangat kekeluargaan UMNO agar ia dapat menjadikan parti lebih kuat untuk mengharungi cabaran besar pada hari-hari mendatang.

13. Inilah permulaan jalan yang jauh dan berliku. Jalan yang hari ini mungkin tidak nampak sinar di penghujungnya. Tetapi saya yakin, jika UMNO dapat dikembalikan dengan roh perjuangan yang asal namun dalam jasad yang lebih segar, rajawali perjuangan akan terbang semula satu hari nanti.

KHAIRY JAMALUDDIN

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast