MOSCOW – Kerajaan Arab Saudi dan Rusia akan memohon Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 1.5 juta tong sehari pada suku ketiga 2018.

Reuters melaporkan, Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak berkata, Moscow dan Riyadh mencadangkan peningkatan pengeluaran pada suku ketiga sebanyak 1.5 juta tong.

“Kami hanya mencadangkan ini untuk suku ketiga. Pada September, kami akan mengkaji semula keadaan di pasaran dan memutuskan untuk tindakan masa depan,” katanya.

Opec dan Rusia memutuskan bersama pada 2016 untuk memotong bekalan mereka bagi menaikkan harga berikutan kejatuhan harga yang disebabkan oleh pengeluaran minyak mentah global.

Kekurangan pengeluaran minyak di Iran dan Venezuela mengubah senario kedua-dua negara dan ahli kartel minyak.

Presiden Russia, Vladimir Putin dan Novak bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia di Moscow baru-baru ini sebelum memuat keputusan ini.

Sejak 2017, perjanjian Opec mengenai pemotongan pengeluaran menyebabkan harga minyak naik tetapi terdapat kebimbangan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang diperbaharui ke atas Iran serta kemerosotan pengeluaran dalam krisis melanda Venezuela mampu mengganggu bekalan. – Malaysia Gazette