Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bagaimanapun tidak menyatakan sama ada nama calon menteri besar itu adalah dalam kalangan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedia ada ataupun sebaliknya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bagaimanapun tidak menyatakan sama ada nama calon menteri besar itu adalah dalam kalangan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedia ada ataupun sebaliknya.

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengesahkan mempersembahkan satu nama daripada parti itu sebagai calon menteri besar Selangor baharu kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Menteri Besar Selangor itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada nama calon menteri besar itu adalah dalam kalangan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedia ada ataupun sebaliknya.

“Saya mempersembahkan (nama calon MB) kepada tuanku setelah berbincang dengan kepimpinan PKR…saya telah dapat pengesahan nama untuk dipersembahkan kepada tuanku untuk exco dan juga menteri besar.

“Nama (bakal calon MB) akan diketahui esok,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor terpaksa melepaskan jawatan menteri besar yang disandangnya berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas PH berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Mohamed Azmin turut mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum itu.

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Sungai Tua Amiruddin Shari.

Istana Selangor sebelum ini mengumumkan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan esok di Istana Alam Shah, Klang.

Bernama difahamkan majlis raptai penuh bagi upacara angkat sumpah itu akan berlangsung hari ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast