Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Council (MPOC), Datuk Kalyana Sundram menunjukkan kenyataan pada sidang akhbar mengenai keputusan terkini cadangan pengharaman Biobahan Api Berasaskan Minyak sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) oleh Parlimen Kesatuan Eropah (EU) di Pejabat MPOC, Wisma Sawit, Kelana Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2018
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Council (MPOC), Datuk Kalyana Sundram menunjukkan kenyataan pada sidang akhbar mengenai keputusan terkini cadangan pengharaman Biobahan Api Berasaskan Minyak sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) oleh Parlimen Kesatuan Eropah (EU) di Pejabat MPOC, Wisma Sawit, Kelana Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2018

PETALING JAYA – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyambut baik perkembangan terbaharu membabitkan tindakan Kesatuan Eropah (EU) menangguhkan cadangan pengharaman penuh penggunaan biobahan api sawit kepada 2030 berbanding tarikh asal pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Kalyana Sundram berkata dialog tiga pihak atau trilog antara Parlimen EU, Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada 14 Jun, 2018, telah mencapai persetujuan untuk membatalkan teks akhir di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) membabitkan pengharaman penuh biobahan api daripada sumber sawit pada 2021.

“Arahan pengharaman biobahan api sawit itu adalah sebahagian daripada matlamat besar EU untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

“Perbincangan trilog itu sememangnya diikuti rapat oleh negara-negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia selepas undian Palimen EU yang mengharamkan penggunaan biobahan api sawit menjelang 2021.

“Debat mengenai minyak sawit sudah berlanjutan hampir 18 bulan lamanya dan keputusan terbaharu (untuk tidak mengharamkan biobahan api) sememangnya amat dialu-alukan dan tepat pada masanya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kalyana berkata, Malaysia dan pengeluar minyak sawit yang lain telah berjaya menangani cadangan larangan biobahan api sawit yang dicadangkan EU.
Katanya, pihaknya membantah bahawa EU mengamalkan sistem apartheid tanaman terhadap minyak sawit yang mana membenarkan bahan mentah minyak dan lemak lain dibenarkan dalam campuran bio bahan api mereka sehingga 2030.
“Satu lagi tindakan bantahan kuat ialah bahawa tindakan  EU itu adalah berstatus bukan pengadu Petubuhan Dagangan Dunia dan menghalang prinsip dagangan bebas.
“Bantahan Malaysia juga terhadap cubaan larangan yang dicadangkan EU itu dimobilisasi menerusi kementerian berkaitan serta agensi minyak sawit termasuk MPOC.
“Pekebun kecil negara juga bertindak membantah larangan yang dicadangkan EU menerusi protes dan menyampaikan petisyen ke misi EU di ibu negara sejak tindakan kesatuan itu mengancam kehidupan lebih 650,000 pekebun kecil kelapa sawit,” katanya.
Katanya MPOC lega dengan tindakan wakil rakyat EU yang tidak melarang biobahan api berasaskan minyak sawit  menjelang 2021, bagaimanapun pihaknya khuatir dengan cadangan tiga pihak itu  menghentikan secara berperingkat penggunaannya pada menjelang 2030.
Ujar beliau kejayaan itu hasil usaha Malaysia sejak awal lagi mencabar cadangan larangan itu menerusi bukti.
“Kami MPOC menarik nafas lega dengan perkembangan positif ini terhadap sentimen anti minyak sawit dalam kalangan pengguna Eropah yang mengaitkan dengan penebangan hutan, perubahan cuaca dan mengancam hidupan liar serta biodiversiti.
“Kami rancang mnangani isu ini dengan proses rundingan dan tindakan di lapangan dengan kerjasama rakan kongsi industri kami.
“EU dilihat mungkin meneliti industri dengan tuntutan baharu dan kita akan terus mengenalpasti beberapa perkara ini.
“Tindakan baharu EU bahawa penggunaan biobahanapi minyak sawit akan dihentikan secara berperingkat menjelang 2030 itu akan diteliti secara serius oleh pihak kami dan pihak berkepentingan lain demi masa depan industri minyak sawit dan kebebasan FTA Malaysia-EU terpelihara.
“Kami juga mahu mempertingkatkan kerjasama dengan pengguna terakhir minyak sawit di Eropah supaya lebih memahami cabaran spesifik mereka dan kehendak mereka selain merangka program kolaborasi terbaik untuk memastikan mereka terus setia sebagai pengguna minyak sawit.
“MPOC juga akan meneroka pasaran alternatif untuk Minyak Sawit Malaysia menjelang 2030 itu,” katanya.
Antaranya negara negara berpotensi yang dikenalpasti ialah, Iran dan Iraq yang sedang stabil selepas pergolakan, Timur Tengah, Ghana serta Euthopia untuk mempromosikan minyak sawit.
Ditanya mengenai komen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa China mungkin akan kurangkan pembelian sawit dari Malaysia, beliau berkata, pembelian minyak sawit tidak akan mengalami downfall seperti yang dinyatakan bekas pemimpin negara itu.
“Ia akan terus seimbang, Ahli Parlimen Pekan hanya mengutarakan pandangannya. Eksport minyak sawit tidak akan terjejas sebaliknya akan terus konsisten,” tegas beliau.- MalaysiaGazette