Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mustahil bagi perdana menteri sebelumnya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu akan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwanya dalam wawancara baru-baru ini.
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Penyelewengan dan rasuah dengan menggunakan wang kerajaan adalah antara tuduhan yang akan dikenakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu susulan daripada siasatan ke atas dana-dana yang dirampas, didakwa daripada wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara bersama Reuters, beliau berkata, para penyiasat Malaysia sudah “mempunyai kes yang hampir sempurna” terhadap suspek utama yang telah menyalahguna dana 1MDB dan menyeleweng dana awam.

Beliau juga menyifatkan Najib, yang mengasaskan 1MDB telah memainkan peranan utama.

“Dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya dan kami mempunyai tandatangannya pada semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB, oleh itu dia bertanggungjawab,” kata Dr Mahathir.

Para penyiasat dijangka membuat “beberapa pertuduhan” terhadap Najib, kata Dr Mahathir, sambil menambah tuduhan-tuduhan itu akan berdasarkan penyalahgunaan kuasa ketika beliau menjadi perdana menteri.

Ia membabitkan penyelewengan, mencuri duit kerajaan, kehilangan wang kerajaan dan sebilangan caj lain, dengan menggunakan wang kerajaan untuk menyogok,” katanya.

Dr Mahathir menambah, Datin Seri Rosmah Mansor turut disiasat berkaitan dengan 1MDB.

“Ada wang yang dipercayai telah disalurkan kepadanya, banyak wang.Kami tahu tentang perkara ini, tetapi mencari bukti agak sukar dalam kes ini kerana dia (Rosmah) tidak menandatangani apa-apa kertas. Najib menandatangani banyak kertas,” katanya.

Dr Mahathir menjangkakan tangkapan pertama dalam kes 1MDB akan dibuat dalam tempoh beberapa bulan dan perbicaraan pula akan dimulakan menjelang akhir tahun ini.

“Kami bekerja keras dan kami sudah hampir menyempurnakan kes ini,” kata Dr Mahathir.

Ketika diminta menamakan sasaran dalam kes 1MDB itu, Dr Mahathir berkata: “Terhadap Najib, Jho Low dan beberapa yang lain.”

Jho Low dilihat sebagai individu utama dalam skandal 1MDB.

Peguam Low tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan mengulas kenyataan Dr Mahathir.

“Apabila di mahkamah, kita akan mendapat bukti yang jelas tentang salah laku, kita tidak boleh kalah,” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast