Hahasrin (barisan kedua, enam dari kanan) bersama calon Exco Pemuda UMNO yang hadir pada Sesi Pengenalan Calon Pergerakan Pemuda UMNO di Pejabat UMNO Johor.
Hahasrin (barisan kedua, enam dari kanan) bersama calon Exco Pemuda UMNO yang hadir pada Sesi Pengenalan Calon Pergerakan Pemuda UMNO di Pejabat UMNO Johor.

JOHOR BAHRU – Pertandingan lebih terbuka di semua peringkat jawatan UMNO kali ini jelas menunjukkan parti itu tidak mengamalkan sikap pilih kasih, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim.

Menurutnya, langkah itu dibuat parti kerana UMNO mahu menunjukkan kepada rakyat termasuklah ahlinya bahawa tiada istilah berpakat memilih barisan kepimpinan seperti didakwa ramai pihak.

“Kita hendak bagi gambaran kepada rakyat bahawa Umno ini tidak ada favoritsme dan nepotisme, tiada kata orang atas cakap saya nak orang ini…tidak ada kerana pemilihan adalah daripada akar umbi.

“Ia akan mencerminkan kehendak rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sesi Pengenalan Calon di Ibu Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Johor di sini hari ini.

Hahasrin menegaskan, peringkat UMNO Johor sendiri, Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga mahu pemilihan kali ini lebih terbuka sekali gus tiada sebarang endorsement mana-mana calon.

Namun beliau berharap calon daripada negeri ini yang menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat akan diberikan tempat.

“Jadi, saya ingin menyeru kepada yang akan mengundi, pilihlah yang terbaik kerana kita bukan hendak pilih individu. Kita hendak pilih pemimpin yang boleh bawa UMNO bangkit semula dan kembali memerintah di peringkat negeri dan pusat,” katanya.

Sementara itu, Hahasrin memberitahu, sesi pengenalan calon itu dianjurkan adalah untuk meraikan demokrasi yang ada dalam UMNO dan penawaran diri oleh ramai orang muda pelbagai latar belakang termasuk profesional membuktikan UMNO masih relevan dan mendapat tempat di kalangan golongan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast