nor akmal muhammad
nor akmal muhammad

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli veteran UMNO dinasihatkan supaya tidak mudah melatah susulan kejatuhan parti itu pada PRU-14 kerana yang kalah sebenarnya ialah Barisan Nasional (BN) bukan UMNO.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pulai, Nor Akmal Muhammad berkata, veteran parti yang kecewa dengan kekalahan itu perlu yakin UMNO masih diterima dalam kalangan masyarakat.

“Menang kalah adalah adat dalam mana-mana pertandingan. Yang penting kita kaji dan pelajari kenapa menang kenapa kalah,untuk apa menang untuk apa kalah, siapa menangkan siapa kalahkan dan sebagainya.

“Bukan meroyan, menangis, meratapi kekalahan,” katanya baru-baru ini.

Menurut Nor Akmal, sebagai pertubuhan terbesar orang Melayu, UMNO tidak kalah tetapi gabungan bersama parti komponen BN yang kalah.

BN memenangi 76 kerusi Parlimen, jauh ketinggalan daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 124 kerusi majoriti mudah, katanya.

Mengikut warta kerajaan PRU-14 lalu, 59 daripada 76 kerusi tersebut adalah Ahli Parlimen Melayu atau UMNO yang memperoleh 1,163,508 undi.

Perbandingan ahli parlimen Melayu antara parti utama dengan jumlah undi yang diproleh adalah UMNO (59) dengan 1,163,508 undi, PKR pula 30 ahli parlimen dengan 1,103,495 undi dan Pas dengan 18 ahli parlimen dengan 612, 998 undi.

Bagi Parti Amanah Negara dengan sembilan ahli parlimen dengan undi dengan 339,090 undi.

Bagi PPBM mereka mendapat seramai ahli parlimen dengan 298,540 undi, WARISAN mendapat enam ahli parlimen dengan 131,605 undi manakala DAP dengan seorang ahli parlimen dengan 20,659 undi.

“UMNO bukan sahaja parti dengan majoriti ahli parlimen Melayu tetapi juga masih mendapat undi terbanyak dan UMNO juga adalah merupakan parti majoriti.

“Jelas ini membuktikan UMNO tidak kalah terutamanya dari segi sokongan undi Melayu,” ujarnya merujuk kepada buku Sifir PRU-14 hasil analisis sebuah pasukan penganalisis bebas.

Sebagai tindakan segera yang mesti dilakukan, Nor Akmal mencadangkan UMNO tidak perlu membuat langkah-langkah pemulihan tetapi memerlukan pembersihan.

“Bersihkan UMNO dan BN daripada segala kekotoran, penyakit, virus, musang berbulu ayam, musuh dalam selimut dan api dalam sekam yang telah menyerap ke dalam UMNO dan BN,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast