Zahida Zarik Khan
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Calon jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan tidak mahu menjanjikan bulan bintang atau memberi kata-kata retorik dalam kempennya merebut jawatan nombor satu sayap parti itu pada 30 Jun ini.

Sebaliknya, kata beliau, jika menang, dalam tempoh tiga tahun pertama ini (sesi 2018 – 2021) adalah proses pemulihan untuk UMNO bangkit semula dan akan membawa pergerakan itu kembali ke perjuangan asal.

“Setiap daripada kita perlu kembali mengenal jati diri, perlu sedia berkorban, perlu menjadi lebih prihatin dan harus bangkit berjuang dengan rasa tanggungjawab demi survival agama, bangsa dan tanah air.

“Tambahan pula, melihat situasi politik semasa, UMNO yang menjadi tunjang utama Barisan Nasional (BN) kini berdepan cabaran yang amat getir.

“Justeru, Pemilihan UMNO bagi sessi 2018-2021 adalah medan pertama untuk UMNO pulih bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Bagi perebutan jawatan itu, Zahida Zarik yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia berdepan dengan pertandingan dua penjuru setelah dicabar, seorang anggota Exconya, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Mengulas lanjut, Zahida Zarik berkata, beliau bersama seluruh kepimpinan Puteri telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan agar sayap bongsu parti itu sentiasa mendekati, membawa suara, prihatin dengan permasalahan dan sentiasa memberikan perkhidmatan serta bantuan kepada wanita muda tidak kira sama ada di bandar atau di desa

“Saya juga akan berusaha dengan lebih keras dalam mendekati golongan muda dengan strategi yang jitu untuk memastikan Puteri UMNO lebih bersifat inklusif, bukan bersifat eksklusif dan dilihat sesuai untuk semua golongan muda.

“Selain itu, saya akan memfokuskan kepada program pengkaderan bagi menerapkan ideologi dan matlamat perjuangan UMNO yang sebenar untuk membersihkan dan memperbetulkan persepsi buruk di kalangan anak muda.

“Kita perlu perbetulkan nawaitu perjuangan dan menjadikan perjuangan ini sebagai satu iltizam kerana UMNO belum dibuang rakyat. Buktinya UMNO adalah parti tunggal yang menang kerusi terbanyak dalam Parlimen,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Puteri juga perlu bijak mengambil peluang ke atas suasana politik yang liberal dan terbuka untuk meninggikan moral rakyat, menerapkan nilai Islam dalam kehidupan, menegakkan keadilan sosial serta memperjuangkan isu rakyat dan perlu mendapatkan semula kepercayaan mereka untuk berdepan kebobrokan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pastinya ini bukanlah peranan saya seorang, sebaliknya kita akan bergerak bersama sebagai satu pasukan Puteri yang lebih ampuh dan menjadi kuat serta disegani pihak lawan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast