Md Jais Sarday
Md Jais Sarday

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 bahagian di Johor akan bertanding jawatan pada pemilihan UMNO yang akan berlangsung serentak di seluruh negara hujung bulan ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, 10 bahagian lagi tidak merebut jawatan di dalam pertandingan di peringkat Ketua UMNO Bahagian.

“Antara Ketua Bahagian yang akan melalui pertandingan ialah Datuk Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang), Tan Sri Shahrir Abd Samad (Johor Bahru), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Dr. Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Maulizan Bujang (Tebrau).

“Manakala empat 4 orang penyandang Ketua Bahagian sedia ada tidak menawarkan diri untuk bertanding semula, iaitu; Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad (Mersing), Datuk Abdul Aziz Kaprawi (Sri Gading), Datuk Md Othman Yusof (Tanjung Piai) dan Datuk Daing A Malek bin Daing A Rahaman (Kota Tinggi),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada empat bahagian itu akan menyaksikan pertandingan dua penjuru kecuali Bahagian Kota Tinggi.

“Encik Muszaide Makmor, Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi juga telah menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi,” ujarnya.

Sementara itu tambah beliau, seramai 22 orang Ketua Bahagian telah menawarkan diri dimana sembilan daripadanya telah menang tanpa bertanding.

Katanya, seramai 13 orang menyaksikan pertandingan dua atau tiga penjuru.

Tambahnya, mereka yang telah menang tanpa bertanding kerana tiada pencalonan lain diterima ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar), Datuk Md. Jais Sarday (Kluang), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Ir. Hasni Mohamad (Pontian), Datuk Samsol Bari Jamali (Ayer Hitam), Datuk Ir. Hamim Samuri (Ledang), Datuk Zulkurnain Kamisan (Parit Sulong) dan Ismail Mohamed (Pagoh). – MalaysiaGazette