Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO perlu bersedia mengambil pendekatan pragmatik sebelum membina semula pakatan yang baharu dalam pola politik tanahair.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana BN sudah tidak lagi relevan dalam kancah politik selepas parti itu kalah dan tidak menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Menurut beliau, BN yang ditafsirkan sebagai satu kuasa memerintah perlu membina satu pakatan yang baharu dan langkah tersebut merupakan satu perkara menarik pada pemilihan UMNO kali ini.

“Saya minta maaf dan cakap terus terang, BN sudah tidak relevan dalam konteks masa sekarang. Barisan Nasional dari segi struktur bukan semangatnya yang masih bagus.

“BN itu adalah perkongsian kuasa dan dalam konteks sekarang BN dan komponennya sudah tidak relevan,” katanya menerusi sebuah rakaman video yang tersebar di laman sesawang Youtube.

Annuar yang juga calon Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan hujung bulan ini berkata, UMNO perlu melupakan BN dahulu jika mahu parti itu terus relevan dalam politik di negara ini.

Ujarnya, parti keramat Melayu itu juga perlu menjadi kuat sebelum mahu parti-parti lain datang bagi membentuk gabungan baru sebagaimana sebelum ini.

“Kalau dah kukuh baru boleh cari kawan. Kalau tidak kawan tak datang. Kenapa kawan UMNO dahulu mahu bersama parti itu yang dianggap sebagai tiang seri bersama 13 parti komponen lain dalam BN.

“Sebab dulu kita ada kekuatan. Kalau UMNO tak bina semula kekuatan sendiri, jangan fikir soal mahu membentuk gabungan parti politik,” katanya.

Tambah beliau, UMNO tidak boleh rigid dalam hal itu sebaliknya, perlu memikirkan satu pakatan baru sama ada ia kekal menjadi pembangkang menyertai kerajaan atau ia pakatan pembangkang yang membentuk kerajaan lepas pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast