Ismail Sabri Yaacob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan DAP didakwa telah menunjukkan sikap yang sentiasa cauvinis terhadap perhubungan kaum di negara ini.

Perkara itu jelas ditunjukkan apabila Guan Eng yang telah gagal dan secara sengaja tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan hari ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang biadap.

“Beliau secara terang adalah anti Bahasa Melayu.

“Tindakan Guan Eng ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1)(a); bahasa kebangsaan adalah bahasa rasmi yang digunakan dalam tujuan rasmi. Dan perkara 152(6); tujuan rasmi bermaksud untuk urusan Kerajaan Persekutuan atau negeri.

“Tindakan biadab Guan Eng ini seolah-olah menggambarkan permulaan kepada usaha-usaha beliau untuk menghapuskan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, sebagai Menteri Persekutuan, Guan Eng sepatutnya dapat membezakan di antara tindakan beliau sebagai Setiausaha Agung DAP dan sebagai Menteri Kewangan.

Katanya, Guan Eng tidak dapat menyembunyikan sikap sebenar beliau yang rasis dan anti Melayu sehinggakan Bahasa Kebangsaan diketepikan dalam tugas rasminya sebagai Menteri Kewangan.

“Sikap biadap LGE lebih jelas ditunjukkan apabila beliau enggan meminta maaf di atas kesalahannya.

“Sepatutnya beliau memohon maaf dan berjanji untuk menghentikan tindakan yang salah itu, namun sebaliknya beliau telah mempertahankan tindakan menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi.

“Saya mendesak LGE memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan berjanji untuk tidak mengulangi kebiadaban tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette