Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Dalam usaha pemulihan semula UMNO, calon Presiden, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan memastikan pemilihan parti itu akan diadakan setiap tiga tahun sekali, tanpa ada arahan penangguhan sebagaimana dilakukan kepimpinan sebelum ini.

Selain itu, UMNO juga akan memastikan setiap jawatan dari presiden dan timbalan presiden dibuka untuk dipertandingkan secara sihat tanpa ada mana-mana pihak tertentu dalam parti cuba untuk melindungi sesiapa daripada pertandingan itu.

Menurut Khairy yang lebih dikenali dengan panggilan KJ, dua perkara utama itu antara cadangan dan usul yang akan beliau laksanakan sekiranya mendapat mandat sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.

“Ini antara manifesto saya untuk membangunkan semula parti keramat UMNO.

“Apabila kita membuat usul supaya tidak dipertandingkan jawatan (presiden dan timbalan presiden) setiap tiga tahun, kita tidak tahu sama ada pemimpin itu masih lagi boleh diterima ataupun tidak oleh rakyat dan juga akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian membentangkan bahagian kedua manifestonya sebagai calon Presiden UMNO yang ditayang secara langsung melalui akaun Facebooknya hari ini.

Menurut Khairy, antara usul penting yang dicadangkannya ialah memastikan tidak ada lagi usul menghalang jawatan tertinggi seperti presiden dan timbalan presiden dipertandingkan sebagaimana sebelum ini.

“Saya juga telah usulkan akar umbi boleh menegur dan membuat kritikan terhadap pucuk pimpinan tanpa rasa risau dipecat ataupun dikenakan tindakan disiplin.

“Saya turut mengusulkan untuk menubuhkan majlis yang dianggotai orang luar parti iaitu golongan profesional , aktivis, ulamak dan sebagainya yang mungkin sebelum ini susah menyertai UMNO kerana disekat di bahagian cawangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mencadangkan untuk menambahkan satu lagi jawatan naib presiden bagi golongan wanita, yang tugasannya menyeluruh, tidak bertindih dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia

“Ketua Wanita UMNO Malaysia sudah ada dan akan kekal jawatan itu yang bertaraf presiden, tapi kita tambah lagi satu jawatan Naib Presiden untuk wanita sahaja, yang mana kerjanya adalah untuk mengetuai di peringkat nasional.

“Mereka ini nanti mungkin boleh diketengahkan sebagai bakal Timbalan Presiden atau Presiden UMNO.

“Seterusnya satu lagi jawatan Naib Presiden yang dikhaskan untuk pemimpin UMNO dari Sabah. Kita kena akui Sabah ini negeri yang unik, di mana semangat penubuhan Malaysia antara semenanjung, Sabah dan Sarawak itu menuntut kita supaya memberi kuasa lebih kepada UMNO Sabah untuk membawa agenda kepada rakyatnya,” ujar beliau.

Tambah Khairy lagi, selain beberapa perkara yang dinyatakan itu, beliau juga mengusulkan untuk menubuhkan satu kabinet bayangan yang akan mula bertugas dalam sesi Parlimen pada Julai ini.

Ujarnya, kabinet bayangan itu ditugaskan untuk membayangi menteri dari pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast