Anina Saadudin
Anina Saadudin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin menyatakan hasratnya mahu kembali kepada UMNO dan akan berjuang bersama parti itu sebagai seorang pejuang.

Beliau yang menjadi ahli UMNO selama 22 tahun dari 1993 hingga 2015 berkata, tempoh hukuman penggantungan keahliannya selama tiga tahun selepas dipecat dari parti pada September 2015, sudah berakhir.

“Kepada semua ahli UMNO yang saya hormati, saya ahli UMNO selama 22 tahun sejak 1993 hingga 2015. Tempoh tiga tahun telah berakhir pada Ogos ini, iaitu hukuman yang dijatuhkan kepada saya kerana membawa isu parti ke Mahkamah Tinggi.

“Saya mahu kembali kepada UMNO dan saya mahu berjuang bersama seorang pejuang. Semoga Allah makbulkan doa saya untuk menebus dosa yang hanya akan saya lupakan setelah UMNO kembali bangkit memerintah tanah pusaka bangsa.

“Saya tidak marah dimaki hamun kerana itu dosa saya. Tapi misi yang terpenting dalam hidup saya kini, hanya satu, saya akan perangi Pakatan Harapan (PH) hingga dendam terindah terbayar dengan kebangkitan bangsa,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.

UMNO melucutkan keahlian Anina yang ketika itu ahli Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Padang Matsirat, Langkawi pada 1 September 2015 kerana tindakannya memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu perdana menteri.

Menurut Presiden Empirical Malaysia, beliau ada berjumpa dengan Najib Isnin lalu Langkawi untuk menyatakan pilihannya dan bekas perdana menteri itu menasihatinya agar membuat pilihan sendiri.

“Saya berjumpa Datuk Seri Najib Razak pada Aidilfitri ketiga di Langkawi dan menyatakan pilihan saya. Datuk Seri Najib nasihati saya dengan berkata beliau percaya saya tahu membuat pilihan sendiri,” katanya.

Mengenai tindakannya menyertai PPBM selepas dipecat UMNO, katanya, beliau pernah gerakkan rakyat untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015.

“Ketika itu saya tangisi kejatuhan kerajaan Islam di Malaysia, dan saya akan tebus dosa saya atas dendam terhadap mereka (PPBM) yang memperdayakan saya untuk mengkhianati bangsa,” ujarnya.

Mengenai pemilihan UMNO ketika itu, Anina secara berterus terang menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast