M. Kulasegaran.
M. Kula Segaran.
PUTRAJAYA – Sebanyak 85,769 pemandu penyedia perkhidmatan teksi e-hailing atau tempahan teksi secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih masih enggan mendaftarkan diri sebagai pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran menyifatkan perkembangan itu sebagai menyedihkan kerana golongan tersebut tidak peduli tentang kepentingan mendaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Setakat April tahun lalu, hanya 4,231 daripada 90,000 pemandu e-hailing dan teksi mendaftarkan diri sebagai pencarum Perkeso.
“Ini sangat menyedihkan kerana jelas setiap pemandu tidak mengambil serius betapa pentingnya mendaftarkan diri untuk mendapat perlindungan Perkeso.
“Saya simpati dengan pemandu itu, tapi kami kecewa dia bukan pencarum Perkeso walaupun ia sudah diwajibkan di sisi undang-undang sejak 1 Jun tahun lalu,” kata beliau dalam sidang media di sini.
Beliau berkata demikian sebagai selepas merasmikan Commuting Accident and Read Safety Seminar 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) anjuran Perkeso hari ini.
Beliau mengulas mengenai kematian pemandu Grab yang ditemui mati dijerut dalam keretanya dua hari lepas di ibu negara.
Aiman Nosri, 27, seorang pemandu Grab yang dilaporkan hilang selepas membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru ditemui mati akibat dijerut, di dalam kenderaannya berdekatan flat Selayang Baru dua hari lepas.
Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi hitam itu ditemui polis kira-kira jam 11 malam di tempat letak kereta flat berkenaan.
Pihak polis terpaksa memecahkan cermin kenderaan mangsa untuk memeriksa keadaannya.
Pemeriksaan forensik menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk pemandu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz pula mengesahkan mangsa tidak mendaftarkan diri sebagai pencarum Perkeso.
Katanya, pemandu malang itu juga sukar untuk disediakan pampasan disebabkan beliau bukan pencarum Perkeso.
Ujarnya pihaknya mahu bekerjasama dengan Grab dalam hal ini kerana mempunyai senarai penuh pemandu dan ada sesetengah bayaran melalui grab selain boleh membuat potongan skim secara terus kepada Perkeso
“Sejurus selepas menerima berita kematian mangsa, kami telah menyemak sistem data mengenai status si mati  dan malangnya mendapati dia bukan pencarum berdaftar dengan kami (Perkeso),” ujar beliau.
Mengula lanjut, Mohammed Azman juga menegaskan Perkeso pernah mengatur pertemuan dengan syarikat penyedia e-hailing Grab namun tidak mendapat kerjasama yang diharapkan.
“Kami cuba hendak berjumpa dengan CEO Grab untuk memastikan pengusaha itu mempromosikan pencaruman sebagai menggalakkan pemandunya mencarum tetapi sudah dua kali ditangguhkan dan belum menerima sebarang maklumbalas sehingga hari ini.
“Kalau ikutkan tak perlu carum banyak pun, kalau ikutkan, setahun hanya RM150 dan kurang RM15  sahaja sebulan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast