"Habis tu macam mana nak bertanding Presiden UMNO tahun 2021?" - Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin masih tidak layak memegang jawatan Presiden UMNO, kata bekas ketua Wanita UMNO bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman.

Berkecimpung dalam parti itu sebelum ini lebih 30 tahun, Hamidah berpendirian bahawa Khairy setakat ini layak menjawat Naib Presiden membantu peneraju utama iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang pada pandangannya sesuai menjadi peneraju UMNO.

“KJ patut kekal bertanding dan pegang Naib Presiden buat masa ini. Kita perlukan seorang pemimpin yang betul-betul ada pengalaman untuk mengemudikan kembali UMNO ini dan seharusnya KJ berperanan untuk membantu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sekali pun kerap kali disuarakan kepentingan untuk meremajakan UMNO namun menurut Hamidah, golongan itu sememangnya perlu diberi peluang namun di peringkat bawahan terlebih dahulu.

“Dalam Pakatan Harapan (PH) pun bukannnya orang muda pemimpin atasannya, Lim Kit Siang pun berapa umurnya,Tun M pun berapa umurnya. Kelebihannya PH cuma membuka ruang kepada orang muda untuk berada di kepimpinan bawah.

“Ruang di bawah harus dibuka lebih kepada orang muda, Ahli Majlis Tertinggi sendiri, Wanita dan Bahagian itu perlu lebih kepada orang muda tetapi yang di atas perlu seseorang yang ada pengalaman dan boleh dihormati kawan dan lawan,” tambah beliau.

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

Beliau berpendirian bahawa Ku Li lebih sesuai untuk jawatan itu kerana mempunyai pengalaman yang kukuh, juga merupakan pemimpin yang dihormati oleh pemimpin UMNO,  rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan dalam kalangan parti pembangkang.

“Kalau saya tinjau pandangan orang UMNO, kawan-kawan saya dalam parti – yang tiada jawatan dalam parti – ramai yang bersetuju kalau Ku Li diangkat menjadi Presiden UMNO.

Ku Li , 81 merupakan wakil rakyat paling lama dalam negara selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang sejak tahun 1974 hingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei yang lalu.

Beliau juga sudah lebih 60 tahun bersama dengan UMNO. -MalaysiaGazette