Najib Razak sedang mendengar taklimat ketika mengunjungi pejabat Malaysiakini.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai mengadakan lawatan ke pejabat portal Malaysiakini di Petaling Jaya pagi tadi.

Najib meninggalkan kediamannya di Langgak Duta pada pukul 11.15 pagi.

Kehadiran Najib disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan.

Di sana, Najib dikatakan telah diberi taklimat mengenai operasi portal berkenaan.

Ia adalah kunjungan pertama Najib ke pejabat Malaysiakini.

MalaysiaGazette memperoleh gambar yang menunjukkan Najib berkemeja biru dan berseluar hitam sedang mendengar taklimat daripada seorang kakitangan sambil diperhatikan Gan.

Pada 20 Jun lalu, Najib telah menarik balik saman fitnah yang dikemukakannya ke atas portal berita, Malaysiakini pada 2014 lalu.

Saman itu difailkan pada 3 Jun 2014, mendakwa bahawa dua artikel di Malaysiakini berhubung ulasan pembaca mengenai kemelut Menteri Besar Terengganu yang berlaku pada tahun itu memfitnah dirinya.  – MalaysiaGazette