Mohd Shukri Abdull mempengerusi pertemuan antara Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski dan rombongannya ke Ibu Pejabat SPRM semalam.

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Dirja sekiranya terdapat penglibatan negara itu dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, setakat ini, SPRM memaklumkan siasatan kes itu tidak mendedahkan penglibatan Australia.

Andrew berkata demikian semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di Putrajaya semalam.

Dalam pertemuan itu, SPRM turut mengalu-alukan saranan Australia untuk berkongsi pengalaman serta amalan dalam membaik pulih agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Andrew diiringi oleh timbalan beliau, Michael Growder; Kaunselor Politik, Nicole Campion; Polis Persekutuan Australia, Sally Macdonald, Penolong Setiausaha DFAT, Jeremy Bruer dan Setiausaha Politik 1, Jane Bartlett.

Manakala Shukri mewakili SPRM, selain turut sama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Nor Azmi Karim. – MalaysiaGazette