Seorang pengunjung kedai makan mengikuti perkembangan Ketua Pemuda UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Yb Khairy Jamaluddin secara langsung menerusi telefon pintar sempena Debat Presiden UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazeette di Kedai Makan dan Minuman Amat Jus Buah Gelas Besar, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menyatakan kekesetiaannya untuk tetap bersama parti keramat orang Melayu itu sekiranya ditakdirkan tidak terpilih sebagai presiden parti itu.

Katanya, memandangkan pertandingan yang akan dilaluinya pada hari esok merupakan perebutan jawatan dalam sebuah institusi kekeluargaan, beliau akan taat kepada presiden yang menjadi pilihan para perwakilan.

“Saya nak bagitau saya akan tetap taat setia kepada parti dan saya akan membantu presiden yang baharu untuk membina semula parti UMNO dan saya tak akan ke mana-mana.

“Esok perwakilan mempunyai pilihan yang sangat-sangat penting. Satu pilihan bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga untuk negara Malaysia,” katanya ketika mengakhiri debat calon Presiden UMNO yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Awani malam ini.

Menurut Khairy, apa yang penting ialah mengejar falsafah untuk mendapatkan kebaikan dan bukannya kekayaan serta pangkat di dalam parti.

Beliau turut mengingatkan para perwakilan yang akan memilih pada hari esok, jangan sesekali tidak mempedulikan suara rakyat.

Sebaliknya mereka perlu mengembalikan kepercayaan mereka serta berani membawa perubahan dan transformasi yang besar.

Jelas beliau, langkahnya dalam membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden adalah mahu melakukan gerak kerja bersama dengan akar umbi dan mengembalikan kekuatan UMNO.

“Kita sudah jadi pembangkang, tidak ada apa-apa yang dapat diberi oleh presiden yang menang kecuali komitmen untuk bawa parti kita kembali kepada tampuk kepimpinan kerajaan.” ujarnya.

“Walau apa pun hari ini dan malam nanti datang, senarai cai rakit, ugutan, habuan dan sebagainya tolak ketepi. Guna suara kita dan buat perubahan UMNO yang segar, UMNO yang dinamik dan UMNO yang berwibawa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Khairy turut meminta maaf kerana tidak bertegas dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akhirnya menjadi penyebab kepada hukuman yang diterima oleh partinya daripada rakyat.

Katanya, semua itu tidak berlaku seandainya UMNO tidak mengangkat presiden dan perdana menteri sebagai ‘dewa politik’.

“Saya akui pilihan raya yang lepas itu adalah kelemahan akibat tidak menyoalkan terus isu 1MDB dan terjadilah apa berlaku hari ini.

“Ini kekesalan saya sepanjang hayat. Saya rasa semua pemimpin yang ada dalam UMNO sama ada ahli Kabinet, ahli Majlis Tertinggi ataupun ketua-ketua bahagian ahli Parlimen, kita memang bersuara tetapi kita akhirnya berhenti menyoalkan tentang 1MDB sehingga kita ada dalam keadaan hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette