Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar (tengah) menurunkan tandatangan pada memorandum sebagai tanda sokongan bantahan aman penggunaan bahasa asing dalam urusan rasmi kerajaan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sariyan menggesa agar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dikenakan tindakan atas Akta Hasutan 1948.

Menurut beliau, tindakan dilihat cuba untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini.

“Dalam konteks kerajaan baharu kita harus tekad bukan buat satu pembaharuan yang menyimpang perlembagaan. Saya kira ini satu percubaan untuk memecahbelahkan unsur-unsur kenegaraan.

“Ini satu usaha yang sangat berbahaya, saya mencadangkan supaya Akta Hasutan digunakan bagi mereka yang mencabar perkara-perkara asas dalam pembentukan kenegaraan kita,” katanya.

Perkara itu disokong lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) yang membuat demonstrasi aman di Masjid Putra yang tidak puas hati dengan tindakan Guan Eng itu.

Ia dikepalai Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Malah, satu memorandum empat muka surat turut diserahkan kepada wakil Guan Eng di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam memorandum itu, rata-rata semua NGO tersebut menuntut agar Guan Eng memahami kedudukan rasmi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

Ia diterima Setiausaha Bahagian Kewangan Suhaili Ahmad.

Hadir sama, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang juga Lembaga Penasihat MPM, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Zahar Ujang, Lembaga Penasihat MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, dan Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md. Ali Hanafiah.

Menurut Tun Hanif, Guan Eng dilihat melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunapakai Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Perkara harus ditentang kerana dia sepatutnya mengagungkan Perlembagaan, dan dia pun dah ambil sumpah untuk mempertahankan perlembagaan kita dan undang-undang.

“Jadi itu satu kesilapan Tun Mahathir pun buat satu kesilapan tapi nampaknya dia berdegil jadi kita mestilah membantah supaya dia sedar. Kalau kita tak bantah dia tak sedar jadi kita mesti bantah supaya dia sedar dan balik ke pangkal jalan,” katanya.

Abdul Aziz turut berkata tidak salah untuk seorang menteri menggunakan bahasa lain selain Bahasa Melayu untuk berkomunikasi namun perlu mengambil penetapan tetap bahawasanya semua dokumen ramsi perlu menggunakan bahasa kebangsaan.

“Seorang menteri dia mewakili kerajaan (maka dia) hendak membuat apa-apa kenyataan atau sebagainya hendaklah dalam bahasa Melayu, tak boleh dalam bahasa lain.

“Nak cakap mana-mana di kedai kopi boleh tapi untuk bagi maksud rasmi tak boleh dalam bahasa lain melainkan bahasa melayu,” katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Guan Eng mempertahankan tindakannya yang mengeluarkan kenyataan media Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin selepas didakwa tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam satu kenyataan berbahasa Mandarin, Setiausaha Agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi. – MalaysiaGazette