Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) membekukan akaun bank parti UMNO hanya akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang efektif, kata Datuk Seri Najib Razak.

Malah, tindakan tersebut dilihat sebagai satu serangan dan penafian terhadap asas demoraksi, kata bekas perdana menteri itu lagi.

Beliau berkata, ia juga merupakan satu langkah tidak wajar kerana akan menjejaskan aktiviti dan pembinaan semula parti pembangkang selain, memberi kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digajikan parti.

“Saya amat sedih dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang membekukan akaun bank pelbagai parti pembangkang termasuk UMNO dan SUPP.

“Malah, seorang ahli parlimen Pakatan Harapan turut menggesa kerajaan membekukan akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan.

“Berdasarkan kepada pelbagai kenyataan dan laporan media, tindakan kerajaan baharu membekukan akaun UMNO dan SUPP dibuat kerana mengesyaki parti politik ini telah menerima dana dari 1MDB sebelum PRU13 dan wang ini didakwa kononnya dibelanjakan untuk pilihanraya umum.

“PRU13 diadakan lima tahun lalu. Untuk itu, membenarkan akaun bank parti politik terbabit beroperasi seperti biasa tanpa dibekukan, tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan. Bukankah rekod transaksi akaun bank terbabit mudah diperolehi jika diperlukan penyiasat,” tulis beliau di laman sosial Twitter dan Facebook hari ini.

Najib yang juga bekas presiden UMNO dan bekas Pengerusi Barisan Nasional berkata, parti politik tidak bersalah dan sama seperti gabungan dalam PH.

Katanya, adalah menjadi satu kelaziman untuk parti politik menerima derma kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan salah menerima pembiayaan politik daripada pihak-pihak tertentu.

“Bagaimana sesebuah parti politik dapat mengesahkan sumber dana yang diperolehi? Bolehkah PPBM atau DAP mengesahkan derma yang diterima mereka tidak datang dari penderma yang terlibat dalam aktiviti haram atau kegiatan ekonomi gelap (black economy)?,” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Dalam pada itu, Najib berkata, memandangkan PH telah berkempen pada PRU14 untuk mendakwanya dengan pelbagai salah laku beliau mengalukan siasatan terhadapnya namun, jangan menjadikan parti politik sebagai mangsa. – MalaysiaGazette