Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi sesi 2018-2021 dalam pemilihan parti itu, hari ini.
Mohamad berjaya menewaskan pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh dalam pertandingan satu lawan satu itu.
Setakat jam 10 malam tadi, keputusan tidak rasmi menyaksikan Mohamad memperolehi sebanyak 70 undi meninggalkan jauh pencabar tunggalnya, Annuar dengan hanya mendapat 55 undi.
Keputusan rasmi Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi sesi 2018-2021 akan diumumkan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selewat-lewatnya sebelum jam 11 malam ini.
Kemenangan Mohamad dilihat sebagai kejayaan berganda apabila beliau turut mempertahankan jawatannya sebelum ini iaitu selaku Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Sebanyak 191 UMNO Bahagian membuang undi dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian secara serentak di seluruh negara.
Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam suratnya bertarikh 31 Oktober 2017 menyatakan pihaknya tidak mempunyai halangan membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.
Bagaimanapun Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO serta pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bermula 19 Mei hingga 10 Jun 2018.
Mesyuarat UMNO di peringkat Bahagian pula ditetapkan mulai 30 Jun 2018 dan dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. – MalaysiaGazette