Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan bercakap pada sidang media mengenai pengenalan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto: SYAFIQ AMBAK, 01 JULAI 2018.
Datuk Mohamad Hasan. foto: SYAFIQ AMBAK, 01 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan akan meneliti pengurusan dan pentadbiran parti itu.

Katanya, sebagai usaha untuk memulihkan UMNO, aspek pengurusannya perlu dipastikan berada pada landasan yang betul.

“Saya akan lihat peranan pengurusan sebab apa sahaja organisasi walau bagaimana besar sekalipun, kalau tidak diurus dengan baik akan jatuh. Itu penting, perlu buat postmortem,”katanya.

Meraih jawatan Timbalan Presiden UMNO buat Mohamad bukan bermakna masanya untuk bersenang pada jawatan tertinggi semata-mata sebaliknya beliau berkata, tanggungjawab yang akan digalasnya besar demi memastikan parti itu boleh mengembalikan zaman kegemilangannya.

Buat pertama kali menyampaikan ucapan pendek selepas menang pada pemilihan parti semalam, Mohamad memberi jaminan akan menjadi penasihat kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau juga berharap agar pemimpin dan akar umbi mengambil tanggungjawab bersama-sama untuk memulihkan dan mengukuhkan UMNO.

“Sudah tentu saya akan menasihatinya (Presiden).

“Menang kali ini bukan bermakna ada jawatan yang menunggu tetapi 1,000 beban.

“Sebab kita perlu bersama dalam keadaan sekarang kapal dilanda ombak bukan nakhoda sahaja perlu mengemudikan kapal, semua orang perlu mainkan peranan.

“Bukan presiden seorang sahaja yang perlu mengemudikan parti. Saya sebagai Timbalan, dan Naib-naib dan perwakilan yang lain-lain perlu mainkan peranan jadi tidak timbul soal presiden seorang yang terpaksa memikul tanggungjawab,” tambahnya. -MalaysiaGazette