KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak adalah orang yang terakhir sepatutnya didakwa dalam kes 1MDB.
Malah mungkin bekas Perdana Menteri itu tidak perlu didakwa langsung dalam kes 1MDB sebagaimana persepsi ramai walaupun faktor itu punca ‘kekalahan’ BN pada PRU-14.
Itu pandangan seorang penganalisis politik bebas, Abdul Hamid Yeop Zainuddin.
Beliau mengulas mengenai isu yang sedang panas diperkatakan iaitu mengenai siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Najib dan harta rampasan di premis yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.
Hamid mencadangkan kesimpulan tersebut dengan merujuk kepada buku Analisis Kewartawanan Saman DOJ yang ditulis oleh Ibuyati.
Ibuyati ialah seorang wartawan Berita Harian atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias yang pernah menerima Anugerah Kajai.
“Semua pihak yang mendengar atau memperkatakan mengenai 1MDB dan wang RM2.6 bilion wajib membaca buku ini, terutama polis dan SPRM yang sedang menyiasat kes ini,” kata Hamid pada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Beliau juga menyokong penuh cadangan penulis buku tersebut yang mahu pihak berwajib ‘menjelaskan kebenaran’ kerana membuat dakwaan terbuka tanpa sokongan bukti, fakta atau maklumat yang salah adalah merupakan hasutan dan fitnah.
Hamid menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kerajaan baharu sekarang mengamalkan prinsip undang-undang (Rules By The Law) iaitu memerintah mengikut undang-undang.
“Salah satu prinsip undang-undang ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan sabitan bersalah atau tidak ditentukan melalui proses keadilan di mahkamah, bukan melalui populariti sokongan tuduhan kempen ceramah dan sebagainya.
“Terlalu banyak yang boleh dijelaskan dari buku ini, yang membantu pembaca mengenali dan membezakan yang mana hasutan fitnah dan yang mana fakta kebenaran.
“Kritikalnya ketika ini ialah kerana telah nampak jelas beberapa isu, kes, bukti dan dakwaan telah bercampur aduk seolah-olah sudah jadi seperti rojak.
“Ini adalah kes besar yang perlu dipertimbangkan, diperhalusi, diteliti, diasingkan satu persatu dan ada beratus-ratus cadangan fakta yang disenaraikan dalam buku ini yang boleh menjadi petunjuk dan membawa sebegitu banyak bukti berkaitan dengan penyelewengan wang 1MDB termasuk yang dikaitkan dengan Najib,” jelasnya.
Berpandukan buku Analisis Kewartawanan Saman DOJ, Hamid yakin semua pihak bukan sahaja pihak berkuasa dan orang awam akan dapat menilai mana satu maklumat yang benar atau tidak.
Fakta kes dalam buku Analisis Kewartawanan Saman DOJ itu adalah maklumat yang diperakui oleh FBI di Amerika Syarikat.
Hamid juga mencadangkan perlu dibezakan beberapa dakwaan walaupun ada umum nampak seperti satu dakwaan yang sama tetapi sebenarnya berbeza sama sekali daripada ‘kaca mata’ undang-undang.
Ia termasuk daripada aspek harta sitaan dari premis Najib dan keluarga dan satu lagi kes melibatkan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.
“Bagi kes ini, ada orang lain yang mempunyai berbilion malah dipercayai berpuluh bilion ringgit sedangkan diketahui tidak bekerja, kenapa tidak dirampas dan disiasat?
“Sekali ‘campak’ RM500 juta, dua kali campak sudah satu bilion ringgit. Dari mana datangnya kekayaan ini?
Ada pemimpin UMNO lain yang terlalu kaya, hingga ada enam ‘istana’, kenapa tidak disita dan disiasat?” soalnya lagi.
Selain itu, kata Hamid, aspek kes berlainan yang perlu diberi perhatian ialah meibatkan Jho Low, kapal mewah The Equanimity dan kes penyelewengan duit oleh pengurusan 1MDB.
“Satu lagi, jumlahnya bukan RM2.6 bilion tetapi RM2.8 bilion sebenarnya jumlahnya yang telah dimasukkan ke akaun Najib dan bukannya derma dari anak raja Arab.
“Beberapa pihak VVIP telah mengaku secara terbuka mengesahkan RM2.6B itu adalah derma dari anak raja Arab, termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (telah dipanggil oleh SPRM semalam dan hari ini) bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, Timbalan Pengarah SPRM, Azam Baki dan lain-lain.
“Kenapa mereka ini tidak dipanggil untuk siasatan dan kenapa mereka tidak ditangkap polis kerana telah memberi maklumat palsu dan cubaan menutup pelakuan jenayah?” soal Hamid.
Menurutnya, dalam buku yang sama juga telah diterangkan dengan jelas dari mana, bagaimana dan siapa RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun Najib.
“Jelas bukan Najib yang memasukkan RM2.6 bilion itu ke dalam akaunnya. Orang masukkan duit ke dalam akaun kita bukan bermakna kita mencuri merompak duit orang itu.
“Ia dua perkara yang sama sekali berbeza.
“Jika RM2.6 bilion itu adalah wang curi maka mengikut undang-undang Najib boleh didakwa menyimpan dan memiliki barang curi.
“Tetapi mestikah dibuktikan (disabitkan) terlebih dahulu bahawa RM2.6 bilion itu adalah wang curi, siapa punya, siapa pencuri dan bagaimana ia dicuri,” katanya lagi.
Jelas jika Rules By The Law seperti kata Mahathir, Najib adalah orang terakhir yang boleh didakwa setelah semua yang lain dibuktikan dan disabitkan terlebih dahulu.
Lainlah jika RM2.6 bilion itu bukan duit 1MDB, kata Hamid.
Selain itu, Hamid menegaskan, seperti dilaporkan media, Jho Low juga dikatakan tidak ada kaitan dengan 1MDB dan ia memberikan dua implikasi.
“Pertama, pihak berkenaan sepatutnya ditangkap dan disiasat terlebih dahulu atas dakwaan memberi maklumat palsu, berbohong dan cubaan menutup pelakuan jenayah tetapi ini tidak berlaku dan jelas tidak mengikut Rules By The Law.
“Implikasi kedua dakwaan Jho Low tidak ada kaitan dengan 1MDB menguatkan lagi bukti bahawa berlakunya penyelewengan duit 1MDB kerana 1MDB telah menyalurkan sejumlah wang yang amat besar kepada Jho Low,” dakwanya.
Ia mungkin menunjukkan pihak yang menyalurkan wang 1MDB secara tak sah kepada Jho Low adalah pihak yang mungkin ‘mencuri’ wang 1MDB tersebut, katanya.
“Kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap 1MDB dan pegawainya yang terlibat seperti menyita semua harta 1MDB dan membekukan semua akaun 1MDB sedangkan dilaporkan media akaun UMNO pun dibekukan untuk siasatan
“Jelas ini juga tidak mengikut hukum Rules By The Law,” katanya.
Hamid juga menegaskan, tindakan terus mendakwa Najib juga jelas tidak mengikut standard prosedur operasi kerana ia boleh dianggap ada niat jahat terhadap Najib.
Lagi pun, jika benar kes penyelewengan berpuluh bilion ringgit wang 1MDB yang juga merupakan wang kerajaan Malaysia itu berlaku sudah tentu bukan dilakukan oleh Najib berseorangan, katanya.
Ia sudah tentu melibatkan sekumpulan ramai orang yang berpakat, berkomplot dan bersubahat dan yang dipanggil konspirator.
“Kenapakah konspirator ini ditutup dilindungi tidak ditangkap tidak disiasat? Jelas ini juga tidak mengikut Rules By The Law,” dakwanya,
Justeru, Hamid mencadangkan semua rakyat Malaysia khususnya yang telah mengundi Pakatan Harapan baru-baru ini dicadangkan supaya membaca buku Analisis Kewartawaan DOJ sebagai panduan.
“Kita semua sedang menunggu risiko menanggung dosa memfitnah, yang jika menurut Islam dan al- Quran dihukum bunuh sekali pun masih tidak cukup untuk menebus dosanya.
“Pertama kerana menuduh Najib sedangkan beliau masih belum dibuktikan bersalah. Kedua, apa implikasinya jika dibuktikan dan disabitkan mahkamah bahawa Najib tidak bersalah dan ketiga, adakah kita semua hipokrit bersubahat sebagai tidak mengikut Rules By The Law?
Apabila ditanya mengenai perkembangan semasa siasatan pasukan petugas khas 1MDB, Hamid menjawab ringkas;
“Satu ayat sahaja sudah cukup untuk membebaskan Najib daripada apa-apa yang sedang hendak dituduh iaitu ‘saya tidak tahu’,” katanya.
Hamid juga merumuskan senario yang berlaku dalam bentuk analogi seperti ‘lembaga hitam dan lembaga putih yang sedang memakan buah langsat’ atau ‘kicap dan cuka yang sedang merosakkan teh tarik’. – MalaysiaGazette
















