KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 9.50 pagi.

Beliau yang kelihatan tersenyum dilihat menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam bernombor pendaftaran SAM38 tanpa ditemani mana-mana individu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang memakai baju batik merah hadir ke sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes dakwaan penyalahgunaan dana sebuah yayasan.

Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, Ahmad Zahid telah dihubungi SPRM bagi tujuan tersebut.

Malah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan kesudian beliau untuk dirakamkan keterangan mengikut Akta SPRM 2009.

“Saya akan beri kerjasama penuh dengan SPRM.

“Saya perjelaskan selepas keterangan saya berikan esok di SPRM,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn semalam.

Nama Ahmad Zahid didakwa dikaitkan sebagai pengerusi sebuah yayasan yang didaftarkan pada 1997 dan memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.

SPRM didakwa memanggil Ahmad Zahid bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.

Malah beliau juga dipercayai akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -MalaysiaGazette