Datuk Seri Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mustapha Mohamed menyifatkan tempoh sembilan tahun satu bulan berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) cukup bermakna buat dirinya.

Bekas menteri MITI itu berkata, ini kerana mendapat sokongan  kuat daripada kakitangan kementerian dan memiliki pasukan yang hebat.

Beliau merakam ucapan terima kasih kepada semua kakitangan MITI termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan bekas timbalan beliau, Datuk Ahmad Maslan.

“Tahniah juga kepada menteri dan timbalan menteri yang baharu dan mereka ini antara Ahli Parlimen yang aktif di Dewan Rakyat.

“Selepas ini saya perlu lebih aktif daripada mereka di Parlimen. Apa-apa pertanyaan selepas ini juga saya akan jawab di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah tugas kepada menteri baharu, Darell Leiking di kementerian di sini hari ini.

Turut hadir timbalan menteri, Dr Ong Kian Ming.

Pada pemilihan UMNO bagi penggal 2018-2021 minggu lalu, Mustapha menduduki tempat teratas bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi dengan sebanyak 59,628 undian.

Sementara itu, Darell secara peribadi menghormati ketokohan Mustapha ketika mengemudi MITI dan gembira apabila bekas menteri itu hadir pada majlis tersebut.

Beliau juga memuji Ahli Parlimen Jeli itu yang sudi memberi bimbingan dan sedia menjawab persoalan yang diperlukan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette