Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan buat kali ke dua berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dana dalam Yayasan Akalbudi di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 9.53 pagi.

Beliau yang memakai baju batik ungu gelap dilihat melambai ke arah para pengamal media dan wartawan yang hadir seawal jam 8 pagi.

Ahmad Zahid akan memberikan keterangan kali kedua hari ini di hadapan para penyiasat berhubung kes berhubung siasatan terhadap Yayasan Akal Budi yang kini disiasat SPRM.

Siasatan dipercayai menjurus kepada siasatan pengurusan dana yayasan itu yang didakwa digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semalam menghabiskan masa hampir 9 jam  bagi memberi keterangan mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan itu berhubung kenyataan beliau pada 22 April 2015 mengenai pertemuannya dengan anggota keluarga diraja Arab Saudi yang memberikan derma kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid pada sesi bersama UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada tahun itu.

Ahmad Zahid adalah bekas pemimpin UMNO ketiga dipanggil SPRM selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap 1MDB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast