Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan kali kedua berhubung siasatan kes SRC International Sdn. Bhd di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 24 MEI 2018.
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudiannya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada pukul 8.30 pagi.

Bekas perdana menteri telah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri.

— BERNAMA