Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sudah menghantar notis pemberitahuan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kepada Speaker DUN negeri itu, Ng Suee Lim tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Amirudin Shari tidak mahu membincangkan soal Pilihan Raya Kecil (PRK) sekarang kerana masih bersedih dengan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, Allahyarham Shuhaimi Shafie.

“Kita hanya akan bincangkan hal PRK selepas selesai tiga hari majlis tahlil. Itu yang kerajaan negeri dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapkan.

“Soal penetapan tarikhnya bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita hanya menghantar notis pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis kepada Speaker,” katanya di sini, hari ini.

Allahyarham Shuhaimi, 50, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira jam 11.10 pagi semalam akibat kanser limfoma tahap empat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmi Ali berkata, calon DUN Sungai Kandis yang akan bertanding dalam PRK ini belum dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat.

“Perkara itu tidak perlu dibincangkan ketika ini. Ini bukan masanya untuk kita membincangkan perkara itu.

“Walaupun semalam ada mesyuarat biro politik khas, namun isu ini tidak dibincangkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mohamed Azmin berkata, pihaknya menunggu pengumuman SPR untuk menentukan bila PRK diadakan.

“Kita serahkan kepada SPR untuk mengumumkan bila PRK akan diadakan, kemudian baru PKR dan Pakatan Harapan berbincang serta membuat persediaan PRK itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast