Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua kiri) bersama Steven Sin Chee Keong (kanan) mengetip kad perakam waktu pada hari pertama sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan di kementerian itu di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mahu institusi kementerian mengamalkan budaya membalas dendam dan mencari kesilapan pentadbiran lepas.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik itu mahu memastikan kesalahan sedia ada diperbaiki dan memberi fokus kepada perancangan masa depan untuk manfaat belia, sukan tanah air dan rakyat secara umum.
“Saya tidak mahu disalahtafsir. Kalau ada salah laku lepas ia tetap akan disiasat.
“Tetapi saya tak nak pentadbiran KBS yang baharu ini diwarnakan atau dicorak dengan budaya balas dendam, yang mana untuk saya menyerlahkan keupayaan saya, saya menjatuhkan kebaikan lepas dengan hanya menonjolkan kesilapan sedia ada.
“Saya hanya hendak fokus apa yang nak tawarkan untuk rakyat kerana belia dan rakyat mahu melihat program yang memanfaatkan mensejahterakan mereka dalam semua sektor,
“Kalau ada kesilapan lepas tak nak dibiarkan berulang lagi,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas mengetip kad perakam waktu hari pertama betugas sebagai Menteri di Menara KBS bersama Timbalan Menteri, Steven Sim.
Dalam perkembangan sama Ahli Parlimen Muar itu juga memberitahu, segala program baik yang pernah dirangka dan dilaksanakan oleh Khairy Jamaluddin akan diteruskan oleh kepimpinan baharunya.
Katanya, Ahli Parlimen Rembau itu telah meninggalkan legasi terbaik dalam mentransformasikan KBS dengan acuan yang sempurna.
“Maka kami saya tekankan program baik akan tetap diteruskan, contohnya Hari Sukan Negara, Hari Belia, Fit Malaysia dan Perdana Fellowship dan sebagainya.
“Saya nak tunggu laporan penuh kementerian berkenaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kos program-program untuk ditambah baik pada masa hadapan,” ujar beliau.
Dalam pada itu beliau juga mahu mengadakan perbincangan dengan semua penggiat sukan tanah air dalam memastikan sukan-sukan yang dipinggirkan dan berpotensi serta para bekas atlet yang tidak dibela kebajikan diberi perhatian serius.
Katanya, beliau akan memperhalusi segala ruang yang ada dengan berdialog bersama pakar sukan, bukan sekadar ahli politik yang menentukan masa depan sukan.
“Saya tak nak kata hendak buat pelan (A,B,C,D) dan akhirnya semua salah dan habis sukan negara apabila kerajaan berubah dia tukar lagi dasarnya.
“Lebih baik kalau dasar ini dirangka baik dengan teknokrat sukan bukan sahaja ahli politik yang ada kepentingan peribadi,” ujarnya.
Menurutnya, sukan elektronik yang dipinggirkan pada zaman teknologi digital sedia ada akan diperhalusi semula dengan nafas baharu kerana berpotensi menjana pendapatan belia dengan kelebihan peneraju perisian yang ada membina platform kekal lembah silikon.
“Saya akan berbincang dengan penjawat awam KBS kerana mereka perlu dihormati berpengalaman berdekad tadbir urus yang dimiliki untuk mendapatkan input untuk kejayaan KBS,” tegas beliau. – MalaysiaGazette