KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,390 beg mengandungi baja padi skim kerajaan Persekutuan dirampas pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu hari ini.

Rampasan bernilai RM180,534.60 itu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sebuah kilang beras di Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar, Johor.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan penguatkuasa mendapati terdapat baja disimpan di gudang yang tidak mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan barangan kawalan itu.

Kementerian juga mengesahkan bahawa baja yang dirampas itu adalah baja yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui kontrak kerajaan di bawah skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

“Dalam serbuan ini, jumlah baja yang dirampas ialah sebanyak 3,390 beg dianggarkan bernilai RM180,534.60.

“Nafas juga telah membuat pengecaman dan mengesahkan kesemua baja yang dirampas ialah baja dibawah skim SBPKP,” kata kenyataan itu.

Dalam serbuan sama, penguatkuasa berjaya menahan seorang lelaki disyaki anak kepada pemilik kilang tersebut untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000.

Kilang tersebut juga mempunyai empat pekerja, namun mereka tidak ditangkap dan hanya direkodkan keterangan.

“Baja-baja berkenaan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian pertanian, barang rampasan berkenaan akan dijadikan sebagai bahan bukti dan akan dipindahkan ke satu lokasi simpanan yang dikawal oleh SPRM dan KPDNKK bagi memastikan ketirisan bantuan subsidi dapat dihapuskan.

“Kementerian difahamkan bahawa penguatkuasaan dan rampasan dilakukan hasil pengintipan kegiatan ini selama empat bulan lalu sejak Februari lepas.

“Siasatan rapi akan dijalankan untuk mengenalpasti dalang disebalik kegiatan penjualan baja padi dalam pasaran gelap ini

“Maklumat hasil siasatan akan didedahkan umum setelah proses siasatan selesai sepenuhnya dan kementerian tegas dan komited dalam membanteras kegiatan tidak bermaruah ini untuk mengembalikan hak baja kepada pesawah padi,” tegas kementerian itu. – MalaysiaGazette