Wartawan Meja Am RTM, Marian Awar bercakap ketika ditemubual pada Persidangan Media Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2018
Wartawan Meja Am RTM, Marian Awar bercakap ketika ditemubual pada Persidangan Media Sosial Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Dalam era masyarakat yang sentiasa mengejar pembangunan untuk merealisasikan impian ke arah kehidupan lebih moden, media sosial telah mencetuskan gelombang perubahan dalam proses sosialisasi dan kehidupan masyarakat.

Perubah­an ini termasuk perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat yang memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap pemikiran, ideologi dan budaya tanpa batasan sempadan serta kawalan.

Media sosial dijadikan tempat berinteraksi, menyampaikan maklumat dan propaganda, ruangan iklan, mencari rakan lama, interaksi keluarga, bertukar pendapat serta sebagai wadah pembelajaran dan sumber rujukan yang interaktif dan kreatif.

Teknologi ini juga telah membuka dunia komunikasi dengan lebih luas tanpa sempadan dan kaedah ini menjimatkan waktu, hanya dengan teknologi internet yang terletak di hujung jari.

Penganjuran Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2018 buat kali ke-7 disifatkan sebagai sebuah program yang bukan sahaja bermanfaat, sebaliknya memberi impak serta kesedaran tentang dunia media sosial dengan lebih luas.

Begitu antara perkongsian kepada MalaysiaGazette oleh wartawan Meja Am Radio Televisyen Malaysia (RTM), Marian Awor yang menjadi peserta buat julung kali.

Marian yang sudah berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak 21 tahun lepas berkata, beliau sangat teruja malah ‘terkejut’ untuk mengetahui pelbagai perkara berkaitan media sosial dalam jangka masa yang begitu singkat.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya hadir khusus yang memberi pendekatan tentang media sosial secara keseluruhan. Pada hakikatnya, sebagai wartawan walaupun kita terdedah dengan pelbagai perkara tetapi penggunaan media sosial juga kadang-kadang terhad.

“Kita banyak menggunakan aplikasi seperti Facebook, Instagram dan kadang-kadang Twitter. Ada juga aplikasi lain yang juga memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita.

“Contohnya benda baru yang saya belajar antaranya Doodle dan Hootsuite yang baru saya dengar kali ini. Penggunaan ini sangat penting dan membantu dalam kehidupan serta kerjaya kita.

“Malah seandainya sesiapa yang terlibat dengan memasarkan produk mereka, saya pasti program MSMW seperti ini sebenarnya sangat membantu memberi ilmu bagaimana boleh menjana pendapatan yang jauh lebih baik. Para penceramah yang membantu kami juga bukan calang-calang,” katanya.

Tambah Marian yang juga seorang pensyarah separuh masa di Nilai dalam bidang komunikasi, ilmu yang diperoleh melalui program tiga hari ini akan dikongsikan dengan pelajar-pelajarnya.

“Dunia media sosial ini sebenarnya sangat luas, bermanfat, cepat dan penting jika digunakan dengan baik. Sebagai contoh, Twitter sebenarnya satu aplikasi yang sangat penting kerana ia mencapai sasaran dalam sekelip masa sahaja.

“Kita perlu rajin untuk meneroka dunia sosial yang sebenarnya tanpa sempadan ini. Rata-rata akan memperoleh faedah yang sangat besar seperti saya. Saya juga mahu syorkan agar penganjur akan anjur program seperti ini pada masa-masa akan datang dengan lebih kerap,” ujarnya.

Seramai 30 penceramah dari dalam dan luar negara yang berpengalaman luas dalam dunia media sosial dijemput khas oleh penganjur, Dewan Minggu Media Sosial yang diterajui oleh Presidennya, Shahul Hameed Dawood.

MSMW yang masuk hari terakhir ini dihadiri oleh 290 peserta pelbagai lapisan dan bidang turut didedahkan dengan kepelbagaian dunia media sosial.

Malaysia Gazette merupakan media dalam talian rasmi bagi program MSMW 2018 kali ini. – Malaysia Gazette